![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/07/14/2176828.jpeg)
SEBANYAK empat buah kereta dibakar oleh seorang lelaki di Bukit Tinggi, Klang pada Khamis.
Kejadian tersebut dimaklumkan menerusi Facebook Lee Fu Haw yang turut memuat naik beberapa gambar kereta yang terbakar itu.
"Sekurang-kurangnya empat buah kereta dibakar secara rawak oleh seorang lelaki.
"Jika sesiapa terlihat insiden dan lelaki dipercayai melakukan jenayah tersebut, sila maklumkan kepada pihak polis," katanya pada Khamis.
Sementara itu, polis dilaporkan telah menahan seorang lelaki dipercayai suspek bagi kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki tempatan berumur 53 tahun itu ditahan berhampiran kawasan kejadian pada 5.30 petang, Khamis lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
"Ujian saringan air kencing yang dilaksanakan mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis morfin dan punca perbuatan juga masih dalam siasatan polis.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan lelaki itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat menggunakan api, Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini, Hoong Fong memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 24 tahun pada 2.45 petang, Khamis lepas memaklumkan bahagian hadapan keretanya telah terbakar dan pihak bomba sedang memadamkan kebakaran di tempat kenderaan berkenaan pada hari yang sama.
"Lanjutan siasatan kami mendapati terdapat lima lagi kenderaan yang lain berada di tempat letak kenderaan itu turut terbakar,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek yang sama dipercayai memecahkan cermin sebuah kenderaan di kawasan lampu isyarat di Lebuh Batu Nilam serta lapan kenderaan lain yang diletakkan berhampiran kawasan itu.
"Setakat ini, 15 kenderaan telah dikhianati dengan cara membakar bonet dan memecahkan cermin dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000,” katanya.
Dalam pada itu, Hoong Fong turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram