[VIDEO] Bukan dendam atau khianat, polis Pekan sahkan misteri kereta terbakar sebab nak tutup bukti kes curi durian


  • 112
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan kereta terbakar dipercayai perbuatan pencuri yang mahu menghapuskan bahan bukti kes curi durian di Kuantan, Pahang pada Jumaat.

SEBUAH kereta dipercayai menjadi kenderaan melakukan aktiviti mencuri dilaporkan terbakar di hadapan sebuah premis di Kuantan, Pahang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Zaidi Mat Zin berkata, kereta yang terbakar itu telah dilaporkan hilang di Jaya Gading Kuantan pada 23 Oktober lalu.

Menurut beliau, suspek kemudiannya disyaki menggunakan kereta tersebut ketika mencuri durian daripada sebuah lori di di Taman Mentiga, Pekan kira-kira 40 kilometer dari lokasi ia dilaporkan hilang.

"Suspek disyaki menggunakan kereta ini untuk mencuri enam bakul buah durian daripada sebuah lori yang diletakkan di Taman Mentiga, Pekan.

"Awal pagi Jumaat, pemilik lori telah pergi ke tempat parkir lori untuk berniaga di Kuantan, didapati ada sebuah kereta berisi durian sedang terbakar.

"Kita syaki suspek sengaja bakar untuk menghilangkan segala bukti dan mengelak daripada dikesan oleh pihak polis," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Zaidi berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 379/ 511 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek kini sedang diburu.

Sementara itu, kejadian tersebut juga sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada berhampiran premis di lokasi kejadian.

Dalam video sama, sebuah kereta putih dilihat melalui kawasan itu sebelum kereta terbabit tiba-tiba terbakar ketika itu.

Rakaman CCTV itu kemudiannya tular di media sosial, selain warganet membuat spekulasi ia berpunca daripada dendam, khianat selain cuba membuat tuntutan insurans. Rupa-rupanya, ia hanyalah helah penjenayah untuk menutup jejak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram