Isu pencen penjawat awam: Berapa boleh jimat jika mansuh pencen ahli politik?


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Terdapat pihak mencadangkan agar Kerajaan seharusnya terlebih dahulu menghapuskan pencen wakil rakyat dan menteri sebelum melaksanakan langkah tersebut kepada pekerja perkhidmatan awam. — Gambar hiasan

CADANGAN kerajaan bagi memansuhkan skim pencen penjawat awam mencetuskan polemik yang hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, langkah tidak popular itu disifatkan sebagai satu dasar yang bakal memberikan impak ketara terhadap perkhidmatan awam di dalam negara.

Sama ada baik atau buruk, kesan daripada langkah ini masih tetap boleh diperdebatkan.

Di pihak kerajaan, pendirian itu dibuat selepas menilai mengenai beban kewangan yang perlu ditanggung sekiranya skim berkenaan tidak dipinda.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan bakal menanggung perbelanjaan mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040 sekiranya sistem pencen itu diteruskan.

Dalam pada itu, terdapat juga pihak mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut yang disifatkan memberikan kesan terhadap bakal penjawat awam.

Malah, mereka turut mencadangkan agar Kerajaan seharusnya terlebih dahulu menghapuskan pencen wakil rakyat dan menteri sebelum melaksanakan langkah tersebut kepada pekerja perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, persoalannya adakah cadangan tersebut merupakan benar-benar berkesan dalam membantu kerajaan bebanan kewangan yang ditanggung Kerajaan.

Ini kerana jika tidak, desakan untuk menghapuskan pencen wakil rakyat dan menteri itu boleh disifatkan sebagai hanya satu langkah populis yang tidak menyelesaikan isu sebenar cuba ditangani Kerajaan.

Disebabkan itu, untuk menilai perkara tersebut dengan lebih adil, adalah penting untuk kita terlebih dahulu mengetahui mengenai jumlah sebenar dibelanjakan Kerajaan bagi menanggung kos pencen wakil rakyat dan Menteri.

Menjawab berhubung perkara tersebut, seorang pengguna di laman X, Thevesh tampil berkongsikan mengenai jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

file7ntnwz81di09p9z3jj (1)

Langkah tidak popular itu disifatkan sebagai satu dasar yang bakal memberikan impak ketara terhadap perkhidmatan awam di dalam negara. — Gambar hiasan

BACA LAGI: 'Ahli politik pun kena, baru adil dan saksama', ramai 'back up' penjawat awam berhubung isu pencen

Menurutnya, daripada keseluruhan RM395.8 bilion peruntukan Belanjawan 2024 oleh Kerajaan, perbelanjaan bagi penceh ahli politik hanya meliputi 0.02 peratus atau RM85 juta.

"Saya faham masing-masing marah bab pencen. Walaupun perasaan itu valid, saya rasa korang patut tahu fakta dan datanya juga.

"Berapa sebenarnya pencen menteri dan MP? Jawapannya: RM85 juta setahun, angka yang sangat kecil dalam big picture. Dalam 0.02 peratus daripada Bajet," tulisnya menerusi ciapan pada Jumaat.

Menurut Thevesh, kesemua maklumat tersebut diambil daripada dokumen yang terkandung dalam Belanjawan 2024.

GEubm3ra4AAzFsC

Gambar rajah bagi pembahagian peruntukan Belanjawan 2024. — Twitter/Thevesh

BACA LAGI: Ada baik buruknya kerajaan hapus pencen kepada penjawat awam tetap baharu

Menerusi hantaran sama, dia turut berkongsikan jumlah perbelanjaan bagi pencen mengikut kumpulan pesara bagi tempoh sama.

Berdasarkan gambar rajah yang dimuat naiknya, pesara di Semenanjung Malaysia merupakan penerima terbesar iaitu sebanyak RM21.707 bilion atau 83.49 peratus daripada keseluruhan RM26.0 bilion yang disediakan untuk perbelanjaan pencen.

Ia diikuti oleh pesara tentera yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.074 bilion, polis (RM1.304 bilion), pesara Sabah (RM541 juta) dan pesara Sarawak (RM244 juta).

Sementara itu, pesara ahli politik berada di kedudukan keenam tertinggi yang menerima peruntukan pencen paling banyak dengan jumlah sebanyak RM84 juta.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata, cadangan untuk memansuhkan pencen terhadap pekerja sektor perkhidmatan awam itu turut melibatkan ahli politik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram