Lelaki bayar sewa rumah, bayar bil guna kutipan wakaf al-Quran cecah RM1,000 sebulan dicekup depan bank di Ipoh


  • 112
  • Sabtu, 10 Feb 2024

JAIPk menahan seorang lelaki yang didakwa memperdaya orang ramai menerusi kutipan derma wakaf al-Quran di hadapan premis bank dekat Meru Raya, Ipoh, Perak pada Jumaat. — Facebook/JAIPk

SEORANG lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selepas didakwa memperdaya orang ramai menerusi kutipan wakaf al-Quran di hadapan sebuah bank dekat Meru Raya, Ipoh pada Jumaat.

Individu terbabit dipercayai membelanjakan kutipan wakaf diterima untuk kegunaan diri sendiri dan melunaskan bil utiliti peribadinya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JAIPk, lelaki berusia awal 40-an itu mengaku boleh meraih pulangan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

BACA LAGI: Kartel jenazah masih berkuasa, mufti cadang sistem wakaf banteras kaut untung fardu kifayah

e1d8f374-be35-4673-840c-7856e1f710b4

Seorang lelaki didakwa menggunakan duit kutipan wakaf demi kepentingan peribadi di Meru Raya, Ipoh. — Facebook/JAIPk

BACA LAGI: Imigresen tahan 5 warga asing, menyamar kutip derma pusat tahfiz di Gelang Patah

"Lelaki itu ditahan ketika sedang membuat kutipan atas nama wakaf al-Quran.

"Dalam siasatan awal yang dijalankan, dia mengaku boleh meraih sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan hasil kutipan 'wakaf al-Quran' daripada orang ramai.

"Dia juga mengaku wang tersebut tidak digunakan untuk membeli al-Quran bagi tujuan diwakafkan.

"Sebaliknya digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti, makan minum dan keperluan harian isteri dan empat orang anaknya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Pelaku ditahan dan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan Kutipan Derma Tanpa Kebenaran di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

Sehubungan itu katanya, semua individu atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat mahupun yayasan yang ingin membuat apa-apa kutipan derma /wakaf dengan tujuan manfaat dan kebaikan untuk orang Islam digesa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram