Rakyat Malaysia jadi dalang seludup 336kg heroin ke Australia dikenal pasti


  • Primer
  • Khamis, 25 Mei 2023

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pihaknya sedang mengenal pasti individu rakyat Malaysia yang terlibat dengan kes penyeludupan dadah di Australia. — The Star

POLIS telah mengenal pasti syarikat dan individu dikaitkan dengan sindiket yang terlibat dalam penyeludupan lebih 300kg heroin ke Australia, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, polis sedang menyiasat penyeludupan 336kg heroin dalam kontena dari Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia pada 13 Mac 2023.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman mendapati barangan itu dihantar pada 28 Februari 2023 menggunakan laluan laut dari Malaysia dan tiba di Brisbane, Australia pada 13 Mac 2023.

“Melalui siasatan, polis mendapati penglibatan anggota sindiket tempatan mempunyai kaitan secara langsung dengan penahanan di Australia,” kata Saifuddin.

“Polis juga telah mengenal pasti syarikat dan individu yang dikaitkan dengan kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan modus operandi dan penglibatan syarikat penghantaran berkaitan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang bertanya mengenai tindakan yang diambil KDN berhubung insiden penyeludupan dadah ke Australia melalui kapal dari Malaysia yang berlepas melalui Westport.

Tambah Saifuddin, pihak berkuasa telah mengambil beberapa langkah untuk menangani penyeludupan dadah termasuk mempertingkat dan meluaskan kerjasama dengan agensi anti dadah antarabangsa.

Beliau berkata, agensi itu termasuk Lembaga Narkotik Kebangsaan Indonesia (BNN), Biro Narkotik Pusat Singapura (CNBS), Biro Kawalan Narkotik Brunei (BKN) dan Polis Persekutuan Australia (AFP).

Saifuddin berkata, ia dijalankan melalui pertukaran dan perkongsian risikan serta maklumat untuk membanteras pengedaran dan penyeludupan dadah masuk atau keluar dari Malaysia.

Tambahnya, KDN juga akan memperkukuh kerjasama dalam kalangan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain yang berkaitan melalui perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama.

Saifuddin kemudian berkata, agensi kementerian itu juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di pintu keluar masuk negara, termasuk lapangan terbang antarabangsa, lintasan sempadan, pelabuhan dan kawasan maritim.

Tambahnya, langkah lain yang diambil termasuk menambah baik koleksi risikan bagi membanteras sindiket pengedaran dadah berprofil tinggi dengan mendapatkan maklumat berkualiti daripada masyarakat setempat.

Pada 14 April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan pelbagai agensi terhadap kes itu.

Anwar menegaskan bahawa ia satu perkara memalukan jika disahkan bahawa tangkapan heroin kedua terbesar dalam sejarah Australia itu berasal dari pelabuhan Malaysia.

Pada 10 April, Bukit Aman mengesahkan bahawa Polis Persekutuan Australia telah merampas 336kg narkotik di Brisbane bulan lepas.

Dadah itu dianggarkan bernilai RM789.56 juta dan disembunyikan dalam blok simen dari Malaysia dan tiba di Australia pada 13 Mac.

Australian Associated Press melaporkan pada 6 April bahawa rampasan itu merupakan tangkapan heroin kedua terbesar di negara itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram