SEPANYOL terus dihimpit isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan kebanyakan migran menggunakan laluan laut untuk menyusup masuk ke negara itu.
Terbaharu, tular satu video memaparkan dua buah bot yang dilabel sebagai 'pendaratan hantu' yang dipenuhi migran, mendarat di kawasan pantai Sepanyol.
Memetik laporan media antarabangsa, kossyderrickent.com, video tersebut ditularkan oleh parti Republikan melalui platform X (Twitter) sejak Selasa lalu.
"Dua lagi 'pendaratan hantu' di Sepanyol.
"Pencerobohan Eropah dan berakhirnya era tamadun Barat," tulis ciapan tersebut.
Melalui video berkenaan, pendatang asing tersebut dipercayai dari Afrika dan mereka kebiasaannya menggunakan laluan laut untuk menyusup masuk ke Eropah secara haram.
Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan media mengesahkan kejadian terbabit.
"Satu rangkaian jenayah transnasional, yang membawa pendatang Syria dan Algeria ke negara Kesatuan Eropah (EU) berjaya dibongkar.
"Seramai 15 orang telah ditangkap di selatan Sepanyol sebagai sebahagian daripada operasi ini yang dijalankan dengan kerjasama Europol dan pihak berkuasa Jerman dan Norway.
"13 daripada mereka masih direman dalam tahanan.
"Siasatan mendapati organisasi ini turut terlibat dalam pengedaran dadah dan senjata serta telah membawa lebih 200 pendatang ke Sepanyol dari Algeria dengan bot yang sangat laju dipandu oleh individu bersenjata," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut kenyataan itu lagi, sindiket itu meminta bayaran bermula 7,000 euro (RM34,790) setiap orang untuk menyeberangi lautan Mediterranean.
"Sindiket ini akan membawa rakyat Syria yang ingin ke Eropah dan memberikan mereka dokumen serta visa," kata kenyatan itu.
Sepanyol adalah salah satu pintu masuk utama untuk pendatang haram di Eropah.
Bilangan pendatang tanpa izin yang tiba di pantai tanah besar Sepanyol dan kepulauan Balearic meningkat sebanyak 29.22 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram