[VIDEO] Sebelum kena 'spot check' KKM, tauke dan pekerja kedai makan wajib suntik tifoid


  • Massa
  • Selasa, 13 Feb 2024

Pengendali makanan diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mempraktikkannya di tempat kerja. — Gambar hiasan

PENGENDALI makanan seharusnya menitikberatkan penjagaan kesihatan diri untuk menghasilkan makanan yang berkualiti seterusnya melindungi pengguna.

Berdasarkan penjelasan dalam laman web Doctor on Call, pengendali makanan diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mempraktikkannya di tempat kerja.

Kursus ini adalah antara inisiatif murni pihak kerajaan dalam usaha mencegah sebarang penyakit berjangkit yang mampu merebak melalui makanan atau minuman.

Usaha ini tidak hanya mencegah demam kepialu, tetapi juga beberapa penyakit lain seperti kolera dan keracunan makanan.

Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah.

Selain itu, pengusaha makanan juga wajib mendapatkan suntikan tifoid sebagai langkah penjagaan kesihatan.

Suntikan tifoid adalah sejenis suntikan vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit tifoid dan perlu diambil sebelum bertugas atau mula mengendalikan makanan.

BACA LAGI: 'Nyawa bukan macam kuih', peniaga bazar Ramadan ditegur jangan abai suntikan tifoid, mufti perjelas status vaksin

BACA LAGI: Ayam diletak di atas lantai penuh darah, pusat sembelih di PJ diarah tutup

Ia bertujuan merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria Salmonella typhi.

Penggunaan vaksin tersebut telah terbukti mampu mencegah demam kepialu daripada terus merebak di banyak negara termasuk Malaysia.

Sekiranya anda merupakan pengusaha premis makanan atau pengendali dalam industri makanan, tentu anda tertanya-tanya mengenai harga suntikan tifoid ataupun suntikan vaksin.

Harga suntikan tifoid adalah berpatutan dan senarai klinik yang menyediakan suntikan berkenaan boleh disemak secara dalam talian.

Anda boleh mendapatkan suntikan ini sama ada di klinik, hospital kerajaan dan swasta di Malaysia.

Individu yang telah menerima atau mengambil suntikan tersebut akan menerima sijil suntikan tifoid sebagai bukti.

Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat.

Suntikan berkenaan perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mana mereka terlibat dalam sektor pengendalian makanan.

tifoid4

Anda boleh mendapatkan suntikan tifoid di klinik atau hospital kerajaan dan swasta di Malaysia.

Suntikan tifoid adalah selamat, namun, individu tertentu atau kes terpencil mungkin akan mendapat kesan sampingan daripada suntikan ini.

Antara kesan tersebut adalah demam, sakit kepala, tidak sedap badan, sengal-sengal badan dan sakit serta bengkak pada tempat suntikan.

Selain itu, merah atau radang pada tempat suntikan, sakit dada, sesak nafas, sakit pada bahagian sendi, kulit gatal dan lemah badan atau badan tidak bermaya.

Jika anda mengalami sebarang kesan sampingan setelah menerima sutikan tifoid, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

Jika kesan sampingan tersebut serius, rawatan lanjut akan diberikan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai demam kepialu, laman web itu turut menyenaraikan beberapa simptom atau gejala bagi penyakit tersebut.

Antaranya ialah demam, lemah tubuh badan, sakit otot, berpeluh, sakit perut, kurang selera makan, batuk kering.

MBPJ medical assistant administers a typhoid vaccination to food handlers during a spot check at eateries in Damansara Damai.

Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah. — Gambar hiasan

Penurunan berat badan, cirit-birit atau sembelit dan ruam pada badan juga merupakan antara simptom demam kepialu.

Justeru, langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan oleh pengendali dan pengusaha premis makanan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah termasuk mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan.

Pihak terlibat juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan restoran atau premis makanan dan memastikan pemakaian penutup kepala, apron, serta kasut bertutup bagi kakitangan yang bertanggungjawab dalam proses mengendalikan makanan.

Selain itu, anda harus memastikan hanya bahan mentah yang segar digunakan dalam hidangan, mempraktikkan proses pembekuan daging dan ayam yang betul dan memasak makanan dengan sempurna hingga takat didih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram