SEBUAH pusat penyembelihan ayam tanpa lesen di Seksyen 3 dekat Old Town, Petaling Jaya, Selangor ditutup, berikutan menyebabkan bahaya alam sekitar dan kesihatan, yang mana darah bercampur air serta isi perut dibuang ke dalam longkang.
Pegawai kesihatan alam sekitar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Marini Mohammad, yang mengetuai serbuan berkata, pusat penyembelihan itu beroperasi selama kira-kira sebulan dan ditutup kerana pelepasan efluen tercemar yang tinggi.
"Siasatan awal kami mendapati, ayam yang disembelih itu dibekalkan ke Pasar Basah Pekan Lama di Jalan Othman, yang terletak kira-kira 650 meter dari pusat penyembelihan yang beroperasi di lot kedai.
"Kami mendapati, kaedah pemprosesan boleh mencemarkan daging kerana ayam yang disembelih berlumuran darah dan diletakkan di atas lantai dipenuhi darah.
"Lebih teruk, empat pekerja Bangladesh yang diupah untuk menyembelih ayam itu tidak mempunyai suntikan tifoid," katanya.
Dalam operasi pukul 3 pagi itu, Unit Penguatkuasa Kesihatan MBPJ merampas 300 ekor ayam yang dibawa untuk disembelih, selain mengarah kakitangan mengeluarkan haiwan tersebut dari lot kedai ke dalam kenderaan.
Difahamkan, operasi penyembelihan ayam itu bergerak sejauh 2.5 kilometer ke Seksyen 3 dari kawasan perindustrian Jalan Tandang di Jalan Penchala, selepas premis yang disewanya tidak diperbaharui untuk perniagaan itu.
Tambah Marini, operasi pusat penyembelihan ayam haram itu diketahui selepas penduduk yang tinggal di kawasan tersebut membuat aduan, berikutan bau busuk yang datang dari arah longkang berdekatan.
"Mengendalikan pusat penyembelihan ayam akan meninggalkan sisa berlebihan seperti isi perut, bulu dan darah yang perlu dilupuskan dengan cara yang betul, tetapi ini merupakan kaedah operasi melulu yang boleh menyebabkan penyakit," katanya.
Marini berkata, serbuan itu membabitkan lima pegawai penguatkuasa kesihatan, manakala siasatan dijalankan di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MBPJ) 2007, yang mana denda RM1,500 dikeluarkan susulan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran kesihatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram