'Nyawa bukan macam kuih', peniaga bazar Ramadan ditegur jangan abai suntikan tifoid, mufti perjelas status vaksin


  • Massa
  • Isnin, 13 Mac 2023

Vaksinasi tifoid penting bagi mengelakkan penularan demam tifoid dalam masyarakat setempat apatah lagi negara baru sahaja pulih daripada  pandemik Covid-19.

BULAN Ramadan semakin hampir dan sudah pasti umat Islam di seluruh dunia tidak sabar menyambutnya kerana kelebihan bulan yang mulia ini.

Bazar Ramadan juga menjadi antara lokasi tumpuan sepanjang bulan itu bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.

Golongan peniaga yang menjual makanan juga tumbuh bagaikan cendawan. Pada bulan itu juga, setiap isi rumah pasti membeli juadah lebih banyak daripada biasa, pelbagai jenis makanan mahu dinikmati ketika berbuka.

Kebersihan bazar Ramadan adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung serta peniaga. Antara langkah yang perlu diambil oleh penjual dan pengendali makanan adalah mendapatkan vaksin tifoid.

Vaksinasi tifoid penting bagi mengelakkan penularan demam tifoid dalam masyarakat setempat apatah lagi negara baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

Masakan tidak, tifoid atau demam kepialu adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa berpunca daripada bakteria ‘Salmonella typhi’ dan biasanya merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar.

Bagaimanapun, terdapat sentimen dalam kalangan sesetengah peniaga yang tidak mahu mengambil suntikan tersebut kerana beranggapan ia haram dan memudaratkan kesihatan.

1775361

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron

Persepsi terhadap penerimaan imunisasi sering kali mendapat reaksi berbeza dan ia dapat dilihat ketika masyarakat dituntut untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi membentuk imuniti kelompok terhadap wabak berkenaan.

Situasi sama juga dapat dilihat apabila terdapat segelintir peniaga enggan mendapatkan vaksinasi tifoid sedangkan jika dilihat daripada faktor kesihatan, ia penting untuk mengelakkan daripada demam kepialu menular kepada orang lain.

Sehubungan itu, adalah perlu bagi individu yang menjalankan perniagaan dalam industri makanan untuk mengambil vaksin berkenaan.

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, vaksin tifoid boleh diambil kerana tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

"Vaksin apabila sudah berpuluh-puluh tahun ujian dan terbukti tidak memudaratkan maka boleh (diambil)," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai kebimbangan status halal vaksin tifoid dalam kalangan peniaga muslim, Mohamad Sabri berkata, penyelidik yang membangunkan vaksin disaran untuk membuat satu kajian serius terhadap bahan yang digunakan.

"Cuma kalau kandungannya diragui haram sepatutnya dicipta vaksin daripada bahan yang halal. Penyelidikan serius oleh pakar- pakar Islam yang ikhlas menjadi suatu amanah yang besar," katanya.

Menerusi tinjauan di sosial media mendapati warga maya berharap peniaga dan pengendali makanan berlaku jujur dan mengambil suntikan tersebut untuk mengelakkan sebarang penyakit yang memudaratkan.

Seorang pengguna Facebook Ayn Enooaryuel meminta agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tegas dalam menangani peniaga bazar Ramadan yang degil dan tidak mengambil suntikan tersebut.

"Harap KKM tetapkan arahan untuk para peniaga mempamerkan sijil pengendali makanan dan suntikan tifoid. Wajib sebab melibatkan orang awam. Nyawa jangan dibuat main," tulisnya.

Pendapat Ayn itu turut dipersetujui oleh seorang lagi warga maya, Md Syawal.

"Paling penting nak berniaga, tolong ambil suntikan tifoid. Ada yang ambil enteng tentang perkara ini.

"Ramai yang lupa soal keselamatan makanan ini. Kedai atau bazar tak semestinya bersih. Perlu ada dilihat pada kesihatan juga," tulisnya.

Sementara itu, Awie Awira berasakan mereka yang tidak mengambil vaksin tifoid ini sebagai orang yang pentingkan diri sendiri.

"Jangan pentingkan diri sendiri, peniaga harus faham ia melibatkan nyawa manusia. Puasa hati kena bersih bila part berniaga ini, kalau tiba-tiba ada yang meninggal sapa nak jawab? Nyawa itu bukan boleh dijual beli macam kuih," katanya dengan sinis.

Menurut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya, melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.

Di samping itu, mengikut Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan, sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram