[VIDEO] Pemuda meniarap, gadai nyawa selamatkan budak cedera terkena tembakan


  • Benua
  • Isnin, 12 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan tindakan seorang lelaki cuba menyelamatkan kanak-kanak ketika situasi genting di Gaza.

IBARAT nyawa dihujung tanduk. Begitulah ungkapan sesuai menggambarkan situasi penduduk di Gaza akibat serangan berterusan Israel yang sudah memasuki hari ke-129.

Menerusi satu video tular yang dikongsikan di laman Instagram mohamed.h.masri, keberanian seorang individu menyelamatkan kanak-kanak ketika situasi genting mendapat perhatian warga maya.

Berdasarkan video tersebut, lelaki itu meniarap dalam cubaan untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak cedera dipercayai akibat terkena tembakan tentera Israel yang terletak beberapa meter di hadapan pagar.

Pemuda tersebut dilihat cukup berhati-hati bagi mengelakkan gerak-gerinya diketahui oleh pihak musuh.

BACA LAGI: Konflik Gaza-Israel, 3 anak yatim Palestin tajaan rakyat Malaysia terkorban dalam serangan bom

BACA LAGI: 'Berhenti dan cukup-cukuplah', Permaisuri Agong gesa gencatan senjata segera di Gaza

Dalam pada itu, kelihatan sekujur tubuh turut kaku terbaring di atas jalan raya.

Kejadian itu difahamkan berlaku di hadapan Kompleks Perubatan Nasser di bandar Khan Younis di selatan Gaza.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Israel ketika ini mula menyasarkan kawasan perlindungan penduduk yang hilang tempat tinggal atau dikenali sebagai 'zon selamat' di timur Rafah.

Sekurang-kurangnya 25 orang awam dilaporkan terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas serangan tersebut.

Untuk rekod, serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan pembunuhan lebih 28,176 individu, yang majoritinya adalah orang awam manakala lebih 68,000 lagi cedera.

Sementara itu, kira-kira 1.4 juta warga Palestin dan penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada di Rafah selepas tentera penceroboh Israel mengusir beratus-ratus ribu rakyat Palestin dari utara Gaza ke selatan wilayah berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram