[VIDEO] Tiada unsur jenayah, polis kawal kawasan pemindahan sementara mangsa kebakaran Flat Sri Sabah


  • 112
  • Isnin, 12 Feb 2024

Kejadian kebakaran di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Taman Kobena, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad malam. — Orang awam

PIHAK bomba mengesahkan lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Taman Kobena, Cheras, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada Ahad malam.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafizan Hassan berkata, kelima-lima unit yang terjejas mengalami kerosakan antara 85 hingga 97 peratus, manakala sebuah unit kediaman yang terletak di tingkat sama berjaya diselamatkan.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran tersebut.

"Namun begitu, terdapat seorang wanita warga emas berusia 62 tahun mengalami sesak nafas namun keadaannya dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Tragedi kebakaran hantui kembali 130 keluarga di Semporna

BACA LAGI: [VIDEO] Satu Malaysia gempar bangunan MOF terbakar

Sebelum ini, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 9.19 malam sebelum mengerahkan pasukan bomba daripada lima balai bomba berhampiran ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Pihak yang terlibat termasuklah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Bandar Tun Razak, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak, BBP Sri Hartamas dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bintang, PBS Desa Petaling dan PBS Gombak.

Kebakaran dilaporkan hanya berlaku di tingkat 17 sayap kanan bangunan dan melibatkan lima unit rumah sahaja.

Operasi memadam api berjaya diselesaikan pada pukul 11.22 malam dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalan sebelum siasatan punca kejadian dilakukan.

WhatsApp Image 2024-02-12 at 10.26.49

Operasi memadam api berjaya diselesaikan pada pukul 11.22 malam. — Bomba

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin memaklumkan, setakat ini pihaknya mendapati punca kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Beliau dilaporkan berkata, keadaan di kawasan kemalangan masih terkawal dan kerja-kerja siasatan sedang dijalankan.

“Buat masa ini, belum dapat pastikan punca kejadian, maklumat awal diperoleh tiada unsur jenayah.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut kami akan maklumkan sekiranya terima maklumat daripada pihak bomba,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram