KAKITANGAN awam Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya melalui detik-detik cemas apabila berlaku kebakaran di bangunan tersebut.
Insiden itu difahamkan berpunca akibat kebakaran rumah sampah di lokasi terbabit yang sekali gus mengakibatkan asap menyelubungi sehingga ke tingkat atas bangunan.
Susulan kejadian itu, rata-rata kakitangan dilihat turun dan berkumpul di bawah bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Dikongsikan di laman Facebook, rakaman itu hangat diperkatakan warganet.
Namun, setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut susulan kes tersebut dan pihak kementerian difahamkan akan mengeluarkan laporan kenyataan berkaitan isu tersebut.
Dalam satu lagi video yang tersebar di media sosial, kelihatan jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
Sementara itu, Polis Putrajaya mengesahkan kejadian yang berlaku pukul 2.36 petang itu.
Difahamkan, kebakaran berpunca akibat percikan api ketika ubah suai penyelenggaraan yang terkena longgokan kertas lama.
Kerja tersebut dijalankan di bahagian stor sisa pukal yang terletak di aras bawah bangunan kementerian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram