SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku membabitkan seorang warga emas rentung manakala dua kanak-kanak bersama seorang lagi wanita melecur selepas kenderaan dinaiki terbakar di Jalan Bidor Lama, Tapah, Perak pada awal pagi Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pukul 4.49 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu anggota BBP Bidor ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki musnah terbakar.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas 2 kenderaan Mazda, 3 parah lepas kereta rentung di Jambatan Kedua P. Pinang
"Seorang mangsa perempuan warga emas maut rentung di bahagian penumpang belakang kereta manakala seorang perempuan serta dua orang kanak-kanak lelaki anggaran usia lapan dan lima tahun melecur.
"Kesemua mangsa dibawa ke hospital oleh pihak ambulans untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita OKU rentung, 3 melecur dalam kebakaran di Kampung Kalansanan
Sementara itu, operasi pemadaman dilakukan anggota menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pukul 5.11 pagi dan operasi tamat sekitar 6.30 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram