[VIDEO] Dua maut jet peribadi terhempas, rempuh kenderaan lain ketika mendarat cemas di lebuh raya


  • Benua
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Pesawat ringan yang dinaiki lima orang penumpang itu terhempas di lebuh raya Interstate 75 berhampiran Naples pada Jumaat. — Agensi

SEKURANG-kurangnya dua maut selepas sebuah jet peribadi terhempas di atas lebuh raya Florida, Amerika Syarikat (AS) selepas dilaporkan mengalami kegagalan enjin pada Jumaat.

Pesawat ringan itu terhempas di lebuh raya Interstate 75 berhampiran Naples sekitar pukul 3.15 petang (waktu tempatan).

Menurut Peronda lebuh raya Florida, kejadian terbabit turut menyaksikan jet peribadi berkenaan turut melanggar sebuah kenderaan sedang melalui lebuh raya tersebut.

Pejabat Sheriff Collier County memaklumkan buat masa ini terdapat dua kematian yang sudah disahkan dalam nahas itu.

Sementara tiga lagi individu dilaporkan terselamat, namun status kecederaan mereka masih tidak diketahui.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), difahamkan terdapat lima penumpang yang berada di dalam pesawat jenis Bombardier Challenger 600 ketika kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Gadis malang terjatuh perigi sedalam 7 meter berjaya diselamatkan

BACA LAGI: [VIDEO] Cari keledek tapi jumpa mayat pelajar perempuan leher diikat dalam perigi

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) memaklumkan penerbangan terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Ohio State University di Columbus, Ohio.

"Maklumat awal yang kami terima ialah juruterbang menghantar panggilan radio bahawa kapal terbang itu mengalami kegagalan enjin semasa menghampiri lapangan terbang Naples," kata NTSB dalam satu kenyataan.

Nahas berkenaan menyebabkan berlakunya kebakaran besar di lokasi pesawat terbabit terhempas.

Dalam pada itu, seorang saksi yang berada di tempat kejadian, Joe Robinson turut menceritakan mengenai keadaan menakutkan yang berlaku di lokasi ekoran nahas berkenaan.

Dia turut memaklumkan bahawa melihat sebuah trak yang mengalami kerosakan berdekatan tempat pesawat tersebut terhempas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram