KIRA-KIRA 130 keluarga di Semporna, Sabah yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran beberapa tahun lalu, terpaksa melalui detik pahit itu sekali lagi pada Rabu.
Mereka yang menetap di kawasan perumahan skim penempatan sementara di Kampung Bangau-Bangau sekali lagi hilang tempat tinggal berikutan kebakaran berlaku sekitar pukul 11.30 malam.
Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran yang meranapkan 10 blok penempatan tersebut, memusnahkan 100 unit kediaman.
Penempatan itu dibuka untuk mangsa kebakaran pada 2017.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada mangsa, kebakaran dipercayai bermula di tengah-tengah kawasan penempatan berkenaan.
Tangkap layar insiden kebakaran pada Rabu. — Facebook
Menurut Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut kira-kira pukul 11.35 malam.
Beliau berkata, fokus anggota bomba adalah untuk mengawal kebakaran dan meminimumkan risiko ia merebak ke penempatan berhampiran.
Tambahnya, keseluruhan kawasan terjejas adalah kira-kira 1.5 ekar.
"Kami berjaya mengawal kebakaran pada pukul 12.46 pagi dan operasi tamat sekitar pukul 3.05 pagi," katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan namun sumber berkata, semakan awal menunjukkan kebakaran berkemungkinan berlaku disebabkan tong gas yang rosak.
Kebanyakan mangsa sudah dibawa ke Dewan Belia dan Sukan Semporna manakala ada yang berteduh di rumah rakan serta saudara-mara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram