TINDAKAN seorang pemilik kenderaan saji (food truck) meninggalkan kenderaannya di sebuah kawasan meletak kenderaan dalam tempoh yang lama akhirnya membawa padah selepas kenderaan itu ditunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di salah sebuah lokasi dekat Bandar Sri Permaisuri, Cheras Kuala Lumpur.
Namun tidak dinyatakan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan @ShahirSakiru, kenderaan tersebut sudah lama diletakkan di tapak parkir berkenaan.
"Lama dia 'bertapak' dekat situ, dari masa aku jual pelitup muka dekat bawah pokok lagi," tulisnya.
Menariknya, bagi proses menunda trak makanan tersebut, pihak DBKL telah menggunakan sebuah kren untuk memindahkan kenderaan tersebut ke lori khas yang digunakan majlis bandar raya itu.
Teknik yang digunakan itu turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya.
"Pertama kali saya tengok cara DBKL angkut naik atas lori. Hebat tapi takut terjatuh atas kereta (atau) motor di bawah itu," ciap Sanaku324.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak DBKL berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram