GOLONGAN miskin bandar merupakan antara kumpulan yang terjejas dari segi isu kewangan selain dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar.
Trend penghijrahan anak-anak muda khususnya dari luar bandar ke kota raya sering kali menjerat diri mereka apabila ketandusan peluang kerja dan terpaksa mengikat perut demi meneruskan kehidupan di bandar.
Tidak hanya tertumpu kepada golongan muda, ibu bapa yang terdesak dalam kesempitan hidup juga antara yang terkesan sehinggakan sanggup meminta sedekah daripada orang ramai bagi menyara keperluan anak-anak di rumah.
Namun, masyarakat selama ini hanya didedahkan dengan kesusahan gelandangan berbanding miskin bandar yang pada hakikatnya berdepan cabaran yang hampir serupa.
Barisan sukarelawan serta badan bukan kerajaan (NGO) antara pihak yang tampil membela nasib gelandangan di negara ini dan diibaratkan sebagai wira buat golongan berkenaan susulan bantuan yang disalurkan kepada mereka.
Pertubuhan sukarelawan 'Food For Gelandangan' baru-baru ini telah menjalankan satu aktiviti 'Menyantuni Gelandangan' di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur.
Aktiviti yang dijalankan pada setiap malam Jumaat itu turut disertai beberapa pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang sekali gus mencetuskan impak serta pemahaman yang lebih mendalam terhadap realiti kehidupan di jalanan.
BACA LAGI: Wujudkan kad khas gelandangan, ajar mereka menjahit dan jadi mekanik — NGO
Barisan sukarelawan 'Food For Gelandangan' mengagihkan bantuan keperluan buat gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, individu miskin bandar juga tidak terkecuali dalam program tersebut apabila puluhan masyarakat yang tergolong dalam kumpulan itu turut dihulurkan pertolongan serta bantuan dari segi pakaian dan makanan.
Merupakan satu detik bermakna buat individu susah, rata-rata individu yang datang pada malam itu bukan sahaja dari kawasan berhampiran, malah ada yang sanggup datang dari jauh demi mendapatkan bekalan keperluan dari pertubuhan NGO terbabit.
Seorang ibu tunggal turut mendapatkan bantuan keperluan buat anak-anaknya.
Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah, 45, menganggap ia sebagai situasi yang amat dinanti-nantikan di Kuala Lumpur pada setiap malam Jumaat.
Meskipun datang dari Gombak, Selangor, kesusahan serta kepayahan dalam membesarkan dua orang anak secara sendirian selepas berpisah dengan suaminya telah menyuntik semangatnya untuk datang ke Kuala Lumpur.
"Saya seorang ibu tunggal dan mengalami masalah tulang belakang yang agak serius, tetapi disebabkan anak dua yang masih lagi bersekolah rendah, maka terpaksa gigihkan juga diri untuk datang kutip bantuan macam ini.
"Dari Gombak ke sini saya pandu kereta bukan satu perkara yang mudah sebab ada masalah belakang, tapi kena juga kuatkan semangat kerana hanya ini sahaja jalan yang saya ada, serba sedikit dapat la tampung keperluan kami tiga beranak," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, golongan miskin bandar sepertinya tidak diberikan perhatian oleh pihak kerajaan mahupun badan kebajikan kerana semuanya tertumpu kepada gelandangan dan fakir miskin sahaja.
"Memang kami semua masih boleh hidup tetapi tak semuanya bernasib baik, kebanyakan kami kehilangan kerja atas faktor kesihatan dan ditinggalkan keluarga.
"Saya sendiri diberhentikan kerja kerana ada masalah kesihatan dan pihak kebajikan seperti enggan membantu kami apabila permohonan pampasan dibuat.
"Semuanya memerlukan proses dan surat-menyurat yang terlampau rumit, saya dengan sakit belakangnya lagi sepatutnya dah tak boleh bergerak banyak, jadi bersyukur sangat kerana ada NGO yang peka dengan kewujudan kami," jelasnya.
Sementara itu, pengasas sukarelawan 'Food For Gelandangan', Mohd Azizan Zainal Abidin menggesa agar pihak kerajaan segera campur tangan dalam kerja amal dijalankan oleh pertubuhan NGO sepertinya.
Katanya, kerjasama dua hala antara pihak tertentu akan lebih membuahkan hasil terutamanya dalam menyelesaikan kemelut dan isu gelandangan yang melanda negara sejak berzaman.
Mohd Azizan Zainal Abidin (tengah) merupakan pengasas Sukarelawan 'Food For Gelandangan'.
"Penguatkuasa dan kerajaan perlu tampil dalam operasi yang kami jalankan, imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya antara pihak yang harus turut serta bersama.
"Golongan miskin bandar ini ramai yang terkesan sebenarnya, kami cuma bantu semampu boleh dan selebihnya harap pihak atasan bantu dari segi pampasan, peluang kerja dan sebagainya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram