SEKUMPULAN warga asing termasuk beberapa individu kurang upaya telah ditahan Jabatan Imigresen selepas didapati mengutip derma di pasar malam di Gelang Patah, Johor Bahru, Johor.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, lima daripada mereka ditahan kira-kira pukul 6.30 petang Selasa dalam operasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Baru dan Jabatan Agama Islam negeri.
"Serbuan dijalankan berdasarkan maklumat diterima daripada orang ramai mengenai warga asing yang menyamar sebagai pemungut derma.
"Ada di antara mereka yang membawa peti sumbangan, mendakwa mengumpul dana untuk sekolah agama tahfiz dan institusi agama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kesemua yang ditahan merupakan lelaki, tiga dari Kemboja dan dua dari Thailand.
"Tiga lelaki Kemboja itu juga mengalami pelbagai kecacatan," katanya.
BACA LAGI: Raih RM4.2 juta sebulan, Jabatan Imigresen gempur pusat urut warga asing di JB
Tambahnya, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia turut ditahan di pasar malam tersebut kerana berniaga secara haram.
Kesemua tujuh suspek yang ditahan berusia antara 34 hingga 63 tahun.
Dalam serbuan berasingan, Baharuddin berkata, seramai 40 warga asing dari Nepal, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, India dan Kemboja ditahan pada Isnin dan Selasa.
"Seramai 353 warga asing diserbu di 44 buah premis di Johor Bahru, Mersing, Batu Pahat dan Segamat dan kesemua suspek ditahan berusia antara 21 hingga 49 tahun.
"Mereka bekerja tanpa permit dan tinggal lebih masa di negara ini. Pada masa sama, kami juga mengeluarkan sebanyak 10 notis kepada individu tempatan untuk membantu siasatan kami," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram