JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menemukan dua lagi kanak-kanak perempuan yang dihanyutkan kepala air dekat Kampung Poh, Bidor, Tapah, Perak pada Khamis.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, mayat Hanum Marissa Azam, 2, ditemukan oleh pasukan penyelamat pukul 9 pagi, manakala mayat Hanna Mikayla Azam, 7, ditemukan selang 10 minit kemudian.
"Kedua-duanya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Tragedi kepala air, 2 pengunjung cemas 1 jam terperangkap di Lata Bayu
Terdahulu, aktiviti perkelahan empat beranak bertukar tragedi apabila si ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas, manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan kepala air di sungai berkenaan pada Rabu.
Selang lebih lima jam kemudian, mayat mangsa kedua, Hafif Muhayat Azam, 4, ditemukan lemas oleh penduduk kampung, 9.50 pada Rabu malam.
Selain mereka, tiga lagi individu ditemukan selamat iaitu kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, anak saudara, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia, berusia 30-an. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram