Kartel jenazah masih berkuasa, mufti cadang sistem wakaf banteras kaut untung fardu kifayah


  • Massa
  • Khamis, 23 Feb 2023

Kakitangan kesihatan melakukan pengebumian mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang, di Klang Selangor pada Julai 2021.

SINDIKET kartel pengurusan jenazah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini membuka mata orang ramai, supaya lebih berwaspada ketika urusan kematian insan tersayang.

Pihak yang mengambil kesempatan seolah-olah tidak sensitif dengan kematian individu lain, apabila tergamak mengambil untung berlipat ganda ketika pengurusan jenazah.

Difahamkan, sindiket itu mula aktif sejak negara teruk dilanda wabak Covid-19 pada 2020, namun pendedahan beberapa pihak tentang sindiket itu baru-baru membuktikan isu tersebut umpama virus yang sedang membiak.

Ia antara lain Mr Wan Cai Official mendedahkan di laman Facebook, apabila individu-individu yang menjalankan kartel jenazah tanpa segan silu secara terang-terangan mengaku mereka sebahagian kegiatan itu.

Malah, ada juga yang mendedahkan, individu-individu tersebut mempunyai orang dalam atau digelar ulat untuk mendapatkan maklumat si mati, dengan lantikan pihak swasta oleh hospital yang sekali gus memudahkan kegiatan kartel jenazah.

Screenshot 2023-02-22 232725

Abdul Rahman

Tampil memberi solusi, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, umat Islam perlu mempertingkatkan pengurusan jenazah menerusi sistem wakaf.

Sebagai contoh, Mufti Pahang itu berkata, orang ramai boleh mewakafkan sesuatu barangan manakala hasil pendapatan daripada wakaf tersebut boleh digunakan untuk membantu orang lain.

"Misalnya, mereka mewakafkan sebuah bangunan untuk disewa, manakala hasil wang sewa tersebut boleh digunakan untuk membantu pengurusan jenazah.

"Apabila sistem wakaf berjalan dengan baik, ia boleh ganti subsidi kerajaan.

"Sementara di kawasan kampung kebiasaannya ada badan khairat kematian dan ada yang membuat caruman untuk pengurusan jenazah. Daripada situ, ia dapat membantu mereka yang kehilangan ahli keluarga," katanya kepada Majoriti.

images (2)

Pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah kepada umat Islam. — Gambar hiasan/Agensi

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam.

Oleh itu, katanya, pelaksanaan ibadah tersebut sepatutnya tidak memerlukan sebarang bayaran yang mementingkan keuntungan semata-mata.

"Tapi dalam keadaan sekarang, masyarakat sibuk bekerja pagi malam. Ada sebahagian ahli kariah buat ikut kemampuan dan mengadakan gotong-royong.

"Kita mengharapkan upah bersesuaian dengan gaji waris yang kehilangan ahli keluarga. Kalau keadaan upah menepati kehendak tak salah, tapi kalau melebihi daripada sepatutnya ia menjadi sesuatu yang tidak baik.

"Nak kata (ambil untung berlebihan) haram tak juga. Tetapi, kalau melambatkan pengurusan jenazah serta ada unsur penganiayaan boleh jatuh hukum haram," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram