Kehilangan duit dalam akaun para pendidik besar kemungkinan tiada kaitan dengan PADU


  • Massa
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Tular satu mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa beberapa guru sekolah kehilangan duit dari akaun bank selepas membuat pendaftaran sistem tersebut.

KECOH di media sosial apabila ada segelintir dalam kalangan pendidik mendakwa mereka kehilangan duit dari akaun bank selepas pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Malah, turut tular satu mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa beberapa guru sekolah kehilangan duit dari akaun bank selepas membuat pendaftaran sistem tersebut.

Mesej tular tersebut mendakwa kes kehilangan wang itu berlaku kepada guru di daerah Dungun, Terengganu dengan kerugian dikatakan mencecah sehingga RM1,000.

Namun, menurut seorang penceramah teknologi maklumat, Adil Hidayat Rosli, kehilangan duit dalam akaun bank tersebut berkemungkinan tidak mempunyai kaitan dengan sistem PADU.

"Berdasarkan maklum balas yang dikongsikan oleh beberapa orang mangsa, kes guru kehilangan duit bukan berita berita palsu, ia memang terjadi berdasarkan laporan polis yang dibuat.

"Cuma saya dapat simpulkan, ia tiada kaitan dengan sistem PADU.

"Beberapa mangsa telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang dilakukan. Malah ada rakan-rakan sekerja mereka yang mengalami masalah yang sama. Mangsa ada kongsikan laporan polis yang dibuat," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

BACA LAGI : Terkejut cari nombor MyKad di Google keluar data peribadi, sijil PMR pun ada

BACA LAGI : Elak risiko data guru dan murid bocor di Internet, apa inisiatif kerajaan?

Menurut Adil yang lebih dikenali dengan nama Pendakwah Teknologi dalam kalangan warga maya, misteri kehilangan wang tersebut dikaitkan dengan PADU kerana dalam tempoh yang hampir sama, kakitangan kerajaan termasuk guru telah diarahkan untuk mendaftar dalam sistem tersebut.

Justeru katanya, berkemungkinan besar golongan berkenaan menyangkakan bahawa data PADU telah bocor atau sistem PADU itu menyebabkan pihak ketiga dapat mengakses wang dalam akaun mereka.

"Saya tak salahkan mangsa kerana bukan semua orang faham apa sebenarnya yang dibuat oleh sindiket jenayah digital (scammer).

"Dalam masa sama, anda boleh lihat ada mangsa yang memaklumkan dia tidak pernah menekan apa-apa pautan tapi duit dalam akaun telah dipindahkan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

"Saya masih cuba dapatkan maklum balas mangsa, bagaimana perkara tersebut boleh terjadi. Adakah disebabkan aplikasi, phishing email, pautan scam, scam SMS dan lain-lain," ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi dalam kenyataan melalui X pada Khamis menafikan perkara tersebut.

"Sekiranya anda menerima mesej seperti gambar yang tertera, maklumat tersebut adalah palsu.

"Selepas semakan dibuat, tiada sebarang laporan polis berkenaan isu tersebut di Terengganu.

"Berhati-hati dan semak dengan saluran rasmi kerajaan sebelum berkongsi apa-apa maklumat daripada sumber tidak rasmi," kata kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram