Jemput 'Hot Daddy Ash' jadi tetamu jemputan podcast, ibu bapa kesal suspek pengedar pornografi dijadikan idola


  • Massa
  • Isnin, 05 Feb 2024

'Hot Daddy Ash' atau 'Gigolo Janda Baik' (kiri) merupakan suspek utama dalam jenayah seksual. — Instagram/ BGTV

TINDAKAN pempengaruh dan YouTuber, Bros Gang TV (BGTV) menjemput seorang lelaki yang terlibat bagi kes pensundalan program podcast baru-baru ini menerima kecaman warga maya.

Masakan tidak, lelaki yang dikenali sebagai 'Hot Daddy Ash' atau 'Gigolo Janda Baik' dalam kalangan warga maya itu merupakan suspek utama dalam jenayah seksual.

Suspek berusia 31 tahun ditangkap polis pada 19 Januari lalu selepas kegiatannya merakam dan menjual puluhan klip video aksi lucahnya bersama lebih 20 wanita, termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat seks dibongkar.

Bukan itu sahaja, tindakan pempengaruh menjadikan suspek sebagai tetamu jemputan yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut turut menjadi persoalan.

BACA LAGI: Ramai lagi seperti gigolo Janda Baik, pelajar wanita IPTA turut didakwa cari makan di platform X

BACA LAGI: Waspada 3 aplikasi tawar perkhidmatan tidak bermoral

Seorang pengguna media sosial, Arisa Esyal tampil meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan YouTuber berkenaan yang tidak sensitif.

"Kesian anak muda sekarang. Pengedar pornografi boleh jadi idola.

"Sangat mencabar peranan ibu bapa sekarang nak mendidik anak.

"Yang salah boleh jadi betul. Nauzubillah. Dia bintang porno wajarkah diangkat sebagai idola, yang boleh berkata-kata dengan bebas tanpa rasa malu. Sedih rasa," tulisnya.

Darwish Al-Qashi pula meluahkan rasa marahnya berhubung isu berkenaan.

"Kalau ikutkan hati, nak pergi sahaja ke pejabat mereka ini dan 'basuh' (ajar) tentang pendidikan moral.

"Hot Daddy itu sudah terang-terang seorang penjenayah seksual, kenapa perlu diangkat dijadikan idola.

"Saya sebagai seorang ayah begitu kecewa, bayangkan kita bersusah payah nak melindungi anak kita daripada perkara jijik sebegini," tulisnya.

Sementara itu, BGTV pada Ahad tampil membuat kenyataan berbaur mempertahankan tindakan mereka menjemput tertuduh kes persundalan tersebut.

Podcast yang dianjurkan mereka adalah berkonsepkan realiti kehidupan dan akan terus menentang mereka yang melakukan perkara tidak bermoral.

“BGTV adalah satu platform realiti showcase. Maka segala video yang dikeluarkan berdasarkan realiti kehidupan. Pahit manis memang kena telan. Semoga kita semua sentiasa dirahmati,” tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan, Hot Daddy Ash atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, telah didakwa di mahkamah pada 26 Januari lalu atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dalam media sosial.

Dia dituduh membuat pengiklanan tersebut bersama dua teman wanitanya iaitu Norshazrina Md Zamri, 27, dan Norhidayah Mahadi, 24.

Kesemua mereka bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Hakim Siti Aminah kemudiannya membenarkan kesemua mereka diikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 12 dan 26 Mac hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram