[VIDEO] Tragedi lelaki maut bergelut dengan polis di stesen minyak Langkawi diklasifikasi kes bunuh


  • 112
  • Selasa, 06 Feb 2024

Tangkap layar Mohd Hafiz yang didakwa dikasari oleh sekumpulan polis sehingga menyebabkan kematian di sebuah stesen minyak di Langkawi baru-baru ini.

POLIS kini mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian seorang lelaki di Langkawi, Kedah pada Khamis lalu kepada kes kematian dan pembunuhan.

Terdahulu, kematian lelaki itu dianggap sebagai kes mati mengejut selepas dia meninggal dunia di hospital minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 304 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan mengenai laporan patologi berkenaan oleh Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Langkawi.

"Saya sudah mengarahkan supaya pegawai daripada kontinjen polis negeri mengambil alih siasatan daripada polis Langkawi bagi mengelak sikap berat sebelah.

"Kami sedang menyiasat kes itu dari semua sudut secara adil dan tidak akan ada penutupan kes," katanya pada Selasa.

BACA LAGI : [VIDEO] Famili sedih, pemuda masuk ICU lepas bergelut dengan polis narkotik Langkawi ketika isi minyak akhirnya meninggal dunia

BACA LAGI : [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Adzli Abu Shah; pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Azhar dan Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Fisol berkata, sehingga kini, polis sudah merekodkan keterangan daripada enam anggota polis yang terbabit dalam penahanan itu dan tujuh saksi.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, suspek ditahan sewaktu 'Ops Tapis Khas' oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, 29 Januari lalu.

Fisol berkata, polis cuba menahan suspek berusia 31 tahun itu selepas dia dikesan berkelakuan mencurigakan.

"Ketika proses penahanan, berlaku pergelutan dan suspek mengalami kecederaan di kening kanan dan telinga, leher kiri, lutut dan lengan manakala tiga anggota polis yang terlibat dalam tangkapan itu turut mengalami cedera ringan.

"Polis menemui satu straw mengandungi heroin seberat kira-kira 0.21gm pada suspek.

"Dia kemudiannya dibawa IPD Langkawi di mana ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif morfin," katanya.

Fisol berkata, pada pukul 8 malam hari sama, polis membawanya ke Klinik Kesihatan Kuah untuk merawat kecederaannya tetapi dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di klinik.

"Dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) dan dimasukkan ke zon merah wad kecemasan namun 12.40 tengah hari pada 1 Februari lalu, kami dimaklumkan beliau sudah meninggal dunia," katanya.

Fisol berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSB Alor Setar keesokan harinya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi keluarga secara peribadi untuk memberi taklimat mengenai kes itu dan memaklumkan bahawa polis sedang menyiasat kes itu.

Ahad lalu, Majoriti melaporkan seorang lelaki meluahkan rasa kesalnya dan mendakwa sekumpulan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi telah mengasari salah seorang ahli keluarganya hingga maut.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu di sebuah stesen minyak Ayer Hangat.

Video tersebut turut tular di media sosial dan menjadi bualan ramai sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram