MUTAKHIR ini, kita sering disajikan dengan program podcast dan rancangan televisyen yang menjemput individu yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.
Malah, ia merupakan satu cabaran besar buat ibu bapa dan juga kerajaan bagi mengekang program yang boleh dianggap tidak sensitif serta merosakkan akhlak anak muda.
Dalam erti kata lain, podcast dan rancangan televisyen seperti itu seperti menggalakkan kelakuan yang tidak bermoral.
Terbaharu,tindakan pempengaruh dan YouTuber, Bros Gang TV (BGTV) menjemput seorang lelaki yang terlibat bagi kes pensundalan program podcast baru-baru ini menerima kecaman warga maya.
Masakan tidak, lelaki yang dikenali sebagai 'Hot Daddy Ash' atau 'Gigolo Janda Baik' dalam kalangan warga maya itu merupakan suspek utama dalam jenayah seksual.
Suspek berusia 31 tahun ditangkap polis pada 19 Januari lalu selepas kegiatannya merakam dan menjual puluhan klip video aksi lucahnya bersama lebih 20 wanita, termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat seks dibongkar.
Bukan itu sahaja, tindakan pempengaruh menjadikan suspek sebagai tetamu jemputan yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut turut menjadi persoalan kerana bagaimana seorang yang terlibat dalam aktiviti persundalan boleh dijadikan idola.
Namun, tahukah anda 'Hot Daddy Ash' atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, bukanlah individu pertama yang diberikan publisiti murahan seperti itu.
Ia bagaikan satu penyakit barah yang kian menular sejak dahulu lagi. Malah ada sesetengah pempengaruh atau rancangan televisyen dengan sengajanya menjemput mereka yang 'bermasalah' ini dengan tujuan menaikkan 'rating' rancangan mereka.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga individu diberikan publisiti murahan walaupun tindakan mereka itu jauh menyimpang daripada nilai dan norma masyarakat yang sebenar:
1. Akak Myvi (Kiki Kamaruddin)
Kiki Kamaruddin dikecam kerana tindakannya didakwa mengamuk terhadap seorang lelaki warga emas ketika terlibat dalam satu kemalangan pada Julai 2014. — Media Sosial
Nama Kiki Kamaruddin mula menjadi bualan selepas tindakannya didakwa mengamuk terhadap seorang lelaki warga emas ketika terlibat dalam satu kemalangan pada Julai 2014 tular di media sosial.
Dalam video tular tersebut, dia dilihat mengamuk selepas menyedari keretanya jenis Peugeot 208 dilanggar secara tidak sengaja oleh warga emas itu dari arah belakang.
Kiki atau nama sebenarnya Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin juga dilihat mengetuk kereta lelaki berkenaan dengan menggunakan pengunci stereng serta mengeluarkan kata-kata kesat dan mendesaknya membayar ganti rugi sebanyak RM2,000.
Walaupun begitu, wanita itu hanya didenda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada ketika itu selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.
Walaupun bersalah, nama Kiki Kamaruddin itu terus diberikan publisiti murahan dan ada rancangan televisyen yang menjemputnya sebagai tetamu undangan.
Tidak habis di situ sahaja, lebih menggeramkan apabila denda RM5,000 dikenakan terhadap wanita itu dibayar oleh badan bukan kerajaan (NGO).
BACA LAGI: Ramai lagi seperti gigolo Janda Baik, pelajar wanita IPTA turut didakwa cari makan di platform X
2. Kak Long 7E
Wanita dikenali sebagai Kak Long 7E itu dikatakan panas hati kerana minuman yang dipesan di KFC tidak disertakan dengan ais. — Facebook
Wan Noor Baizura ataupun lebih dikenali dengan nama Kak Long 7E menerima kecaman masyarakat selepas videonya menengking pekerja sebuah kedai serbaneka di Terengganu.
Difahamkan, wanita itu bertindak sedemikian setelah anaknya dituduh mencuri oleh pekerja berkenaan pada Mac 2022.
Video tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan wanita itu dan anaknya kerana bertindak kasar dan agresif.
Wanita itu bagaimanapun sudah meminta maaf atas perbuatannya itu dan berharap orang ramai tidak memanjangkan lagi perkara itu.
Namun, ibarat lapar perhatian, dia sekali lagi menjadi viral sekali lagi ekoran dikatakan mengamuk di sebuah restoran makanan segera di Terengganu tidak lama selepas itu.
Dia yang turut dikenali dengan nama 'Kak Long Kosmetik', dikatakan panas hati kerana tidak mendapat air batu atau ais dalam minumannya.
Walaupun perbuatannya itu dianggap tidak beretika, ada sesetengah pempengaruh dan pengasas kosmetik menggunakan khidmat wanita itu untuk menjual produk dan membuat 'review' produk mereka.
Malah, dia turut terlibat dan berlakon dalam satu video muzik pengasas kosmetik yang terkenal.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah tunjuk aurat ketika 'live', remaja pengsan dikerjakan bapa
3. Haqiem Stopa
Haqiem Stopa pernah dijemput sebagai penceramah jemputan di program motivasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi. —Facebook
Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar sememangnya satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri permotoran pada ketika ini.
Namun tiada siapa yang tahu, bagaimana lelaki yang berasal daripada Kelantan itu boleh dijadikan idola walaupun terpalit dengan pelbagai kontrovesi.
Malah, tindakan bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkat dia sebagai Ikon Permotoran Anak Muda pada 2022 turut mencetuskan kemarahan warga permotoran negara.
Gelaran itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelumba negara kerana populariti Haqiem menewaskan pengalaman pelumba-pelumba negara yang sebelum ini pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman, Affendi Rosli dan ramai lagi.
Pada tahun yang sama, kehadirannya sebagai penceramah jemputan di program motivasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Kuala Lumpur turut dipersoalkan orang ramai, namun Haqiem menerusi Instagram (IG) Storynya menegaskan pembabitannya di situ bukan untuk mengajar pelajar menunggang motosikal, tetapi lebih kepada berkongsi pengalamannya yang bangkit daripada kegagalan hidup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,