PENDUDUK di Taman Siakap Indah, Bagan Serai, Perak digemparkan pada petang Rabu dengan penemuan satu mayat yang terapung di sebuah tali air.
Video mengenai penemuan tersebut turut tular di media sosial sejak petang Rabu selepas ia dikongsikan oleh laman Facebook, Bagan Serai Kampung HalamanKu.
Dalam pada itu, menurut sumber, mayat yang ditemui itu merupakan warga tempatan berusia sekitar 40-an yang tinggal di daerah tersebut dan bukannya warga asing seperti yang tular di media sosial.
Ujarnya, mangsa dipercayai lemas sebelum ditemukan orang ramai di kawasan tali air tersebut.
Difahamkan, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak, untuk proses bedah siasat dan pihak keluarga turut sudah dimaklumkan.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata warganet yang dipercayai warga tempatan melahirkan kerisauan mereka berhubung beberapa isu pelik yang berlaku di daerah tersebut.
Ia selepas tidak sampai beberapa hari lalu media melaporkan mengenai seorang wanita yang ditahan dalam keadaan bergogel di atas tangki air milik Lembaga Air Perak (LAP).
Dalam kes pada Ahad lalu, difahamkan, wanita yang dikatakan kurang siuman itu memasuki dan memanjat tangki air terbabit kira-kira 2 petang sebelum orang awam menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu.
"Allahuakbar, macam-macam pulak kejadian kat kampung. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan," tulis Jamaliah Hamid.
"Nasib baik tak terserempak hari ni, badan tak sihat, mahuu lagi terus demam. Bukan seram, tapi kesian," ujar Zamzarina Yop. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram