[VIDEO] Lari pemeriksaan JPJ, polis buru suspek lolos di Telok Panglima Garang


  • 112
  • Selasa, 06 Feb 2024

Tangkap layar anggota polis menahan seorang pemandu yang didakwa cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan JPJ di Telok Panglima Garang, Selangor pada Isnin.

POLIS buru seorang lelaki didakwa melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sebuah kawasan berhampiran Telok Panglima Garang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, pengadu yang bekerja sebagai penguat kuasa JPJ berusia 39 tahun bersama rakan sedang melakukan tugas rondaan.

Beliau berkata, pengadu terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Jalan Klang-Banting, Selangor dan telah mengarahkan pemandu untuk berhenti namun suspek bertindak melarikan diri.

“Pengadu telah mengejar kereta tersebut dan suspek telah berhenti selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, suspek telah bertindak mengundur kereta sehingga mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah kereta pasukan dan dua buah kereta orang awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Anggota JPJ cedera makan penumbuk kelindan lori baran

BACA LAGI: [VIDEO] Kenderaan JPJ terbalik di Lanchang dipercayai lepas elak lori, anggota tersepit

Katanya, suspek kemudiannya cuba melarikan diri sekali lagi dengan memandu kereta namun terhenti di hadapan sebuah sekolah di Telok Panglima Garang kerana mengalami kerosakan.

“Ekoran itu, pengadu telah berjaya berhenti di sebelah kanan kereta suspek dan membuka pintu lalu mengambil kunci.

“Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri melalui pintu sebelah kiri dan menghala ke arah kawasan perumahan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah penjawat awam dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram