TULAR satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terbalik dalam kejadian berdekatan Kampung Bongsu, Lanchang, Pahang pada pagi Khamis.
Menerusi maklumat awal diperolehi daripada orang awam, insiden tersebut dipercayai berpunca selepas kereta jenis pacuan empat roda dinaiki anggota pihak penguatkuasa itu cuba mengelak lori.
Melalui video dikongsikan di WhatsApp berhubung kejadian terbabit, orang awam dilihat berada di lokasi untuk memberikan bantuan.
Pada masa sama, difahamkan, anggota JPJ terlibat dalam kemalangan itu masih tersepit di dalam kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, status kecederaan mangsa terbabit tidak dapat dipastikan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik JPJ itu sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.
"Akibat kemalangan itu penumpang belakang berusia 45 tahun mengalami kecederaan dan sedang mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mazlan, dua lagi pegawai iaitu pemandu dan penumpang hadapan masing-masing berusia 34 tahun dan 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan hilang kawalan dan melanggar tebing tanah di laluan bertentangan sehingga terbalik,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram