GANJARAN sebanyak RM20,000 ditawarkan kepada pihak yang tampil meyalurkan maklumat kepada polis berhubung kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan.
Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, pemberian ganjaran itu akan dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor.
"MCPF Negeri Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan berjaya dituduh dengan jayanya.
"Ini adalah inisiatif pihak MCPF Selangor dalam usaha membantu PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
"Kenyataan ini sudah dipersetujui oleh Pengerusi MCPF Selangor, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah," katanya menerusi laporan media pada Selasa.
Beliau yang juga bekas Ketua Polis Pulau Pinang menghadiri sidang media berkenaan yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Berhubung kes Zayn Rayyan, Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih belum menemukan sebarang bukti kukuh yang menjurus ke arah penemuan suspek.
Pasukan penyiasat yang tetap gigih melakukan operasi penyiasatan terhadap kes pembunuhan Zayn Rayyan. — The Star
BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis
"Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis. Dengan kata lain kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak yang boleh menjurus ke arah satu individu yang melakukan perbuatan tersebut.
"Walaupun kita sudah cuba dan macam-macam usaha dilakukan, dari awal Disember sehingga kini, dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.
"Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi kita masih belum jumpa suatu yang menjurus ke arah penangkapan individu itu, tapi polis masih meneruskan usaha," katanya.
Setakat ini, Polis Kontinjen Selangor terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu pasukan-pasukan Bukit Aman melakukan pemeriksaan membabitkan 1,613 unit rumah.
"Polis sudah memeriksa 5,786 individu, kenderaan diperiksa sebanyak 216 buah, tangkapan dibuat ke atas 17 individu, 243 kenyataan sudah diambil.
"Rakaman dari 15 kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa, barang kes dipungut di tempat kejadian dan pelbagai tempat sebanyak 168 item.
"Sebanyak 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari individu, manakala pemeriksaan forensik ke atas 42 rumah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram