PM Anwar jelaskan jasa Najib kepada negara antara asas keputusan Lembaga Pengampunan


  • Primer
  • Isnin, 05 Feb 2024

Anwar berkata, sumbangan Najib (gambar) kepada negara turut mempengaruhi keputusan pengurangan hukuman yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar semua kritikan dan kecaman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dihentikan.

Beliau menegaskan, keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang dan atas belas ihsan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini perlu dihormati.

"Pertimbangan utamanya adalah soal ihsan, belas kasihan atau apa yang disebut oleh bekas Yang di-Pertuan Agong itu sebagai mercu keihsanan atau fountain of mercy.

“Sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk memberi penjelasan atau tidak, itu wawenang (hak) Tuanku,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan

PUTRAJAYA, 5 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar minta hentikan semua kritikan dan kecaman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan.

BACA LAGI: Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak

Anwar berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda terhadap bekas Perdana Menteri keenam itu.

Beliau turut menjelaskan, sumbangan Najib kepada negara turut mempengaruhi keputusan pengurangan hukuman yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

"Perkara tersebut diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk kaedah lain yang diperincikan.

"Pertama, apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

"Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) memberi pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan," ujarnya.

Anwar (kanan) berkata, Najib (kiri) berhak mendapatkan pengampunan diraja sama seperti rakyat yang lain.

Mengulas lanjut persoalan orang ramai mengenai permohonan pengampunan bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang dibincangkan terlalu awal, Anwar memberitahu, sesiapa sahaja yang sudah dijatuhi hukuman boleh mengemukakan permohonan pengampunan.

"Saya mengakui tanggungjawab itu, jadi kenapa ditanya Perdana Menteri ambil sikap kemukakan rayuan Najib begitu awal, saya kata sebaik sahaja saya dapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan.

"Mesyuarat pertama 9 Disember (tahun) lalu, saya hadir kerana saya masih bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan berikutnya (adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Dr Zaliha Mustafa," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000 dikurangkan kepada RM50,000,000.

Namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram