Tony Pua didesak mohon maaf sindir keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib


  • Politik
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Tony Pua sebelum ini menyindir keputusan Lembaga Pengampunan menerusi laman Facebooknya. — Tony Pua

BEKAS Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua digesa membuat permohonan maaf terbuka selepas menyindir keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, proses pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu telah melalui proses yang teliti tanpa penyalahgunaan kuasa atau tatakelola.

“Tindakan mempertikai keputusan itu seolah-olah telah mempersenda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan saya mendesak sekeras-kerasnya beliau menarik balik 'posting' (hantaran) tersebut serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak Tony perlu dikenakan tindakan tegas kerana mempersendakan kuasa YDPA,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga Rohingnya kantoi menyorok tepi pagar lepas curi duit surau di Shah Alam

BACA LAGI: Tony Pua muat naik hantaran sinis di FB selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib

Mengulas lanjut, Asna yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Seremban berkata, tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu menggambarkan beliau tidak menghormati persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan.

“Beliau juga tidak menghormati sensitiviti kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah berjanji untuk melupakan permusuhan dan kisah silam.

“Ini bukanlah kali pertama Tony Pua melakukan tindakan biadap ini sebab itu perlu ada satu tindakan tegas terhadapnya dari sudut perundangan negara mahupun dalaman parti,” katanya.

Pada Jumaat, Tony melalui akaun Facebook beliau dengan nada sinis menyindir keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung hukuman Najib.

Sebelum ini, Tony antara pemimpin PH yang lantang bersuara berkenaan salah laku ketika era pentadbiran Najib.

Tony pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyaksikan beliau menjadi individu penting yang mengusulkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas pemulangan aset untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International pada tahun 2020.

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyatan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram