Ramkarpal Singh desak Lembaga Pengampunan jelaskan keputusan terhadap Najib


  • Primer
  • Ahad, 04 Feb 2024

Ramkarpal Singh berkata, kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan spekulasi bahawa keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

SUSULAN daripada pengumuman mengurangkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, mendesak Lembaga Pengampunan menjelaskan alasan di sebalik tindakan keputusan tersebut.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, langkah itu adalah demi kepentingan awam.

Tegasnya, kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan spekulasi bahawa keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Najib disabitkan kesalahan oleh sembilan hakim dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan, dengan seorang hakim menyifatkan pembelaannya sebagai memalukan negara. Keputusan yang mendapati beliau bersalah dalam kes ini adalah tidak diragui.

"Kedudukan itu diburukkan lagi dengan fakta bahawa Najib melakukan kesalahan terbabit semasa menjadi Ketua Negara tanpa mengambil kira akibat tindakannya kepada negara dan rakyatnya.

"Justeru, tidak dapat dinafikan kes Najib bukan perkara biasa dan Lembaga Pengampunan sewajarnya mendedahkan alasannya untuk meringankan hukuman Najib," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak

BACA LAGI: Tony Pua muat naik hantaran sinis di FB selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib

Pada Jumaat lalu, Majoriti melaporkan, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan bekas Perdana Menteri itu diberikan pengurangan 70 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Untuk rekod, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta yang telah disedut daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu juga sedang berdepan perbicaraan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan dana kewangan mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai memiliki kaitan dengan 1MDB. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram