
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhak mendapatkan pengampunan diraja sama seperti rakyat yang lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika temu bual khas bersama media antarabangsa, Al-Jazeera pada Jumaat.
Menurut Anwar, Najib melalui proses undang-undang dan kini berada dalam penjara tetapi setiap rakyat yang disabitkan mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya pernah memegang jawatan di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur yang kini dipegang oleh orang lain.
"Tetapi sudah tentu Agong sebagai Raja Berperlembagaan perlu berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi.
"Dia (Agong) sudah tentu menjadi benteng, dan untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya.
BACA LAGI: Yakin tak bersalah, famili kecewa Najib tidak dibebaskan serta-merta
Tambah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pertimbangan mereka yang terlibat.
"Semua pertimbangan telah diambil kira dan kemudian Agong, selepas mendengar Lembaga Pengampunan akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermaksud pada tahun 2028 (pelepasan).
"Jika RM50 juta dibayar, maka dia akan dibebaskan pada Ogos 2028. Tetapi jika tidak dibayar, maka ia akan dilanjutkan setahun lagi kepada 2029," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan
Namun Anwar menegaskan, bekas Presiden Umno itu masih lagi berdepan dengan beberapa pertuduhan yang sedang dibicarakan di mahkamah.
"Terdapat kes yang sedang berjalan di mahkamah melalui proses kehakiman secara bebas yang perlu diteruskan.
"Pada masa yang sama, Najib berhak sekali lagi merayu kepada Agong baharu (Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar). Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar bidang kuasa Perdana Menteri atau kerajaan," ujarnya.
Anwar turut memberitahu bahawa beliau perlu menghormati Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) pada ketika itu.
"Saya menghormati keputusan Agong ketika itu. Sekarang kita mempunyai Agong (Sultan Ibrahim) baharu.
"Apa sahaja yang dirasakan, sudah tentu berbaur politik, ada yang menyokong, ada yang tidak. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa anda mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.
"Kini Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas jika tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia masih mempunyai jalan untuk merayu pada peringkat kemudian," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram