Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak


  • Politik
  • Khamis, 01 Feb 2024

Persoalan berkenaan status pengampunan Najib kini manjadi topik hangat masyarakat Malaysia. — The Star

KEBELAKANGAN ini, rakyat digemparkan dengan perkhabaran berkenaan pembebasan dan pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara susulan kes 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB).

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan sebuah mesyuarat telah dilakukan Lembaga Pengampunan di Istana Negara pada Isnin.

Walaupun mesyuarat tersebut tidak dapat disahkan membincangkan tentang agenda untuk memutuskan permohonan pengampunan Najib, ia tetap menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan kepada orang ramai.

BACA LAGI : Najib bebas: Tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Negara, tegas Fahmi Fadzil

msg1050426791-24115

Status pengampunan Najib yang masih menjadi tanda tanya rakyat Malaysia. — The Star

BACA LAGI : Ingkar amaran menteri, media asing lapor jumlah hukuman penjara Najib Razak dikurangkan

Lebih menghangatkan lagi apabila satu laporan dikeluarkan media Singapura iaitu Channel News Asia (CNA) yang mendakwa jumlah hukuman Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan pada Rabu.

Dakwaan yang disebarkan dalam laporan tersebut sekali gus dilihat memberi harapan terutamanya kepada penyokong Najib untuk melihat kembali bekas Perdana Menteri itu kembali melakar nama dalam dunia politik Malaysia.

Namun, sehingga kini, Lembaga Pengampunan dilaporkan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan perkara tersebut.

Melihat daripada sudut lain pula, jika keputusan pengampunan itu dilaksanakan, ini antara tindakan yang mungkin akan dilakukan Najib sekiranya dibebaskan.

1) Aktif kembali berpolitik

Jika dakwaan Najib dibebaskan benar berlaku, tidak mustahil terdapat pelbagai perubahan dalam sistem pembangunan politik yang akan dilaksanakan.

Tidak hairan juga sekiranya tindakan Najib untuk terus menjadi ahli politik disokong majoriti rakyat walaupun terlibat dalam kes penyelewangan wang yang masih belum selesai.

Berdasarkan rekod terdahulu, Najib dilihat mempunyai visi dan misi utama yang cukup kuat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Abdullah Badawi pada 2009.

Dalam visinya, Najib pernah menyatakan bahawa mahu melakukan perubahan positif dalam aspek ekonomi, mobilisasi sosial dan institusionalisasi politik terutamanya ketika fasa kejatuhan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Ketika itu, BN dikatakan telah dihukum oleh rakyat kerana mengalami kegagalan buat pertama kali untuk memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU tersebut pada 2008.

Susulan itu, pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada 2009 itu dikatakan telah memberi harapan dan sinar baharu kepada seluruh rakyat demi melihat perubahan yang wujud dalam negara.

Namun segalanya menjadi pudar apabila BN gagal memenangi PRU13 yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan, sekali gus mengheret Najib ke muka pengadilan.

Selepas beberapa tahun dibicarakan, akhirnya Najib dihukum penjara selama 12 tahun dan didenda RM210 juta atas kesalahan melibatkan skandal 1MDB.

Namun di sebalik keputusan itu, beliau ternyata masih mempunyai sokongan yang kuat termasuk daripada bekas-bekas pemimpin Umno sendiri.

Sebagai contoh, pada September 2023, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada menyuarakan sokongan terhadap pembebasan Najib.

Menurut Khairy, pembebasan itu wajar dilaksanakan bagi memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan sedia ada iaitu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib juga dilihat berkemungkinan akan menunjukkan kemampuannya sebagai ahli politik yang disanjung rakyat apabila jasa ketika zaman pemerintahannya dalam Umno sentiasa dikenang sehingga sekarang.

Bukan itu sahaja, kemampuan Najib ketika berdepan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan negatif dalam berpolitik sekali gus dikatakan mematangkan pemikiran politik rakyat Malaysia.

Ditambah pula dengan keadaan politik sekarang yang dilihat semakin goyah, Najib berkemungkinan dapat menyusun strateginya dengan menyaksikan permainan ahli politik terkini.

Perkara itu tidak dapat dinafikan lagi apabila berlakunya perpecahan dan perbalahan antara wakil rakyat yang membuatkan masyarakat berpaling arah kepada pemerintahan Najib.

2) Penasihat ekonomi

Menjadi penasihat ekonomi bagi Kerajaan Perpaduan kini sememangnya tidak mustahil untuk dilakukan Najib jika dibebaskan.

Ia kerana, terdapat banyak jasa dan sumbangannya yang tanpa sedar memberi impak besar kepada keselesaan rakyat.

Najib pernah membangkitkan perkara tersebut dan tidak lupa juga menyenaraikan beberapa kejayaannya dalam membangunkan ekonomi negara ketika zaman pentadbirannya.

Menurutnya, beliau berjaya menggandakan saiz ekonomi Malaysia dari RM700 bilion ke RM1.4 trilion, membina aset negara dengan peningkatan nilai aset khazanah ke tahap RM116 bilion dari RM33 bilion.

Najib pernah menegaskan, segala bantuan dan kebajikan kepada rakyat tidak begitu senang untuk dilupakan dan ditinggalkan.

Di sebalik manfaat itu, rakyat juga berkemungkinan berdepan dengan pelaksanaan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang pernah dilaksanakan sebelum ditukar kepada SST.

Seperti sedia maklum, pelaksanaan GST ketika itu sememangnya mendapat kecaman hebat kerana menganggap ia suatu beban kepada rakyat.

Namun, GST dikatakan telah membantu menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada terus terlalu bergantung kepada pendapatan hasil minyak.

3) Menubuhkan parti lain

msg1050426791-24112

Gabungan parti politik yang pernah dijangka akan retak jika Najib gagal dibebaskan.

Melihat kepada gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan sedia ada pa hari ini, dunia politik berkemungkinan berdepan dengan satu lagi gelombang mengejut jika Najib dibebaskan.

Penubuhan parti politik baharu juga tidak mustahil dilakukan oleh Najib kerana parti BN dilihat sudah tiada pendirian tetap berbanding sebelum penggabungan itu.

Kritikan demi kritikan yang diberikan terhadap BN sejurus sahaja gabungan parti itu 'berkahwin' dengan PH demi mendapatkan kuasa mentadbir negara.

Najib juga pernah menyuarakan bahawa kepimpinan PH dilihat sebagai suatu kegagalan dalam memajukan ekonomi negara.

Penubuhan parti baharu yang mungkin akan dilaksanakan itu tidak dinafikan boleh berlaku selepas melihat sokongan penyokong Umno yang tidak pernah hilang terhadap Najib.

Gabungan BN-PH bagaimanapun pernah dikatakan akan mengalami keretakan apabila Najib gagal dibebaskan.

Ia dikatakan dijangka berlaku sekiranya BN menarik kembali sokongan terhadap kerajaan apabila gagal membebaskan Najib.

4) Meneraju Umno

msg1050426791-24113

Legasi Umno yang dikatakan tidak sesekali akan diruntuhkan.

Keberadaan Najib dalam dunia politik selepas dibebaskan juga tidak mustahil membuatkannya untuk terus meneraju Umno dengan lebih efektif.

Najib boleh dianggap sebagai individu yang berpegang kepada prinsip.

Ia dapat dikatakan begitu kerana tindakanny yang tidak pernah berpaling tadah terhadap parti tersebut sejak ia mula ditubuhkan lagi.

Najib juga pernah menegaskan perkara tersebut dan mengatakan bahawa tidak akan sesekali menjatuhkan Umno yang telah dibina ayahnya, Allayarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tindakan untuk mengambil alih jawatan sebagai Presiden Umno berkemungkinan akan terjadi jika Najib dibebaskan daripada hukuman penjara.

Perkara ini tidak mustahil memandangkan populariti Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kurang disenangi rakyat berbanding Najib.

5) Undur diri daripada dunia politik

Berdepan dengan pelbagai tuduhan berat, Najib berpotensi untuk tidak meneruskan perjalanannya dalam dunia politik lagi.

Sudah hampir lebih lima tahun Najib dihadapkan ke muka pengadilan atas beberapa pertuduhan termasuk pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pertuduhan berikut berkemungkinan menjadi antara faktor legasi Najib akan berhenti walaupun penyokongs setianya masih ramai.

Ia dikatakan sedemikian selepas Najib pernah meluahkan rasa kecewa dan sedihnya terhadap tindakan mahkamah yang dianggap tidak mahu memberinya peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Ia sekali gus dapat melihat Najib untuk mengikut jejak beberapa ahli politik, antaranya seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang mengambil keputusan untuk bersara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram