Pemandu Iriz mencurigakan sengaja rempuh 2 kali di Ipoh, anggota polis patah tulang rusuk dan bahu


  • 112
  • Isnin, 05 Feb 2024

Seorang anggota polis cedera parah selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, Ipoh, Perak pada Ahad malam.

SEORANG anggota polis cedera parah selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, Ipoh, Perak pada Ahad malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, anggota berusia 34 tahun yang patah tulang rusuk dan bahu dilanggar dengan sengaja oleh sebuah kereta sewaktu melakukan rondaan cegah jenayah bermotosikal kira-kira pukul 7.30 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi pegawai rendah polis yang membuat rondaan bertindak menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Taktik baring atas jalan tak menjadi, polis cari lelaki pura-pura kena langgar di Ipoh

“Pemandu kereta (suspek) tersebut telah mengundurkan kereta yang dinaikinya dan terus melanggar motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh.

"Setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa buat kali kedua.

“Suspek kemudiannya memecut kereta meninggalkan tempat kejadian dan menghala ke arah Tanah Hitam.

“Akibat daripada impak pelanggaran tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan dan tidak dapat bergerak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Pelarian Myanmar disyaki redah lampu isyarat, langgar lari anak orang dekat Sungai Petani

Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ujarnya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan sedang giat mengesan pemandu kereta terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram