[VIDEO] Taktik baring atas jalan tak menjadi, polis cari lelaki pura-pura kena langgar di Ipoh


  • 112
  • Ahad, 23 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan tindakan berbahaya seorang lelaki yang baring di atas jalan raya seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.

POLIS mengesan individu yang melakukan tindakan berbahaya dengan baring di atas jalan raya berdekatan stesen Petronas Gunung Lang di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, Perak seperti yang tular di laman sosial pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, setakat ini pihaknya belum mengetahui masa dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

"Pada Sabtu, pukul 4.30 petang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh telah mengesan satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @anthraxxx781, memaparkan tindakan bahaya seorang individu yang berbaring di jalan raya, telah mendapat perhatian masyarakat umum.

"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 283 Kanun Keseksaan atas kesalahan bahaya atau halangan di jalan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan lelaki itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019,” katanya.

Menerusi video tular berdurasi 41 saat itu, lelaki berkenaan dilihat dengan selambanya baring sambil berguling-guling di atas jalan raya terbabit tanpa menghiraukan kenderaan lain yang lalu-lalang di situ.

Difahamkan, taktik sedemikian digunakan oleh sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang mahu menuntut bayaran ganti rugi akibat kemalangan.

Video tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak ekoran tindakan lelaki terbabit yang menyebabkan beberapa kereta terpaksa berhenti dan mengelak daripada melanggarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram