[VIDEO] Tiga anggota tentera maut trak dinaiki berlanggar lori kontena di Gurun


  • Tular
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Keadaan trak dan lori kontena yang terlibat dalam kemalangan di KM 77 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Gurun, Kedah, pada Jumaat. — Facebook

TIGA anggota tentera dilaporkan maut selepas trak yang dinaiki terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori kontena di Kilometer (KM) 77 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Gurun, Kedah, pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, ketiga-ketiga anggota tentera yang maut berusia antara lingkungan 30 hingga 40-an.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan terbabit pada pukul 10.22 pagi.

"Sepasukan anggota BBP Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Awa Suziana Abd Wahid bersama 10 anggota dan bantuan enam anggota dari BBP Pendang tiba di lokasi.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan melalui MERS 999 memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Didakwa langgar lampu merah, anggota

BACA LAGI: Anggota tentera maut kemalangan di Kota Tinggi

"PGO mengarahkan sebuah jentera, EMRS BBP Guar Chempedak dan sebuah jentera dari BBP Pendang ke lokasi kejadian.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaporkan setibanya di lokasi, terdapat empat kenderaan terbabit dalam kemalangan di lokasi yang membabitkan tiga trak tentera lima tan dan sebuah lori Isuzu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, kemalangan turut menyebabkan seorang pemandu lori Isuzu mengalami kecederaan di kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, tiga lagi mangsa iaitu anggota tentera meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Operasi mengeluarkan mangsa telah selesai dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan sedang dilakukan.

"Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," ujar Mohd Fauzi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram