[VIDEO] Anak saudara saintis terkemuka India maut nahas bas di Melaka


  • 112
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Bas yang mangsa naiki terbakar dalam nahas dengan sebuah motosikal di Kilometer 198 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) dekat Melaka pada awal pagi Sabtu.

SEORANG pelancong warga India maut, manakala empat penumpang lagi cedera selepas bas yang mereka naiki terbakar dalam nahas dengan sebuah motosikal di Kilometer 198 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Melaka pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dikenali sebagai Yafarah Taj Fakrudin Hussaini berusia 17 tahun yang datang melancong ke negara ini bersama keluarganya dari Chennai, Tamil Nadu.

Katanya, empat lagi ahli keluarga mangsa turut cedera dengan dua daripadanya yang berusia 69 dan 45 tahun berada dalam keadaan kritikal, selepas masing-masing mengalami tahap melecur 80 serta 50 peratus.

"Hasil siasatan dipercayai berlaku kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggang pemuda berusia 21 tahun akibat terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri di lokasi berkenaan.

"Bagaimanapun, penunggang itu sempat bangun menyelamatkan diri ke kiri jalan sebelum motosikalnya dilanggar bas yang datang dari arah sama menyebabkan motosikal tersebut terseret ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Budak lelaki selamat selepas dilanggar, diseret kereta sejauh 5 meter

Arshad berkata, mangsa dan kesemua penumpang yang cedera berusia antara 69 tahun hingga 17 tahun merupakan satu keluarga warga India dan seorang daripadanya warga Singapura.

"Mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan. Dua pemandu dan 23 penumpang bas lain tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal hanya luka pada anggota badan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

"Kes diklasifikasikan di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Sudhakar Pandi, 43, berkata, Yafarah merupakan anak saudara kepada saintis wanita terkemuka di Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).

Menurut Sudhakar, keluarganya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan berkaitan urusan perkahwinan ketika tragedi itu melanda.

"Arwah anak saudara perempuan saya adalah seorang gadis yang cemerlang dan mendapat inspirasi untuk mengikuti jejak ibu saudaranya yang berkhidmat dengan ISRO di Bangalore, India," katanya kepada The Star pada Sabtu (13 Januari).

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh Timbalan Penguasa Bomba II (KUP), Zahrul Azha Mokhtar berkata, 21 anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul pukul 3.55 pagi.

Menurutnya, operasi itu turut membabitkan satu lori tangki dengan kapasiti 20,000 liter air dari BPP Tangga Batu untuk kerja-kerja pemadaman kebakaran dan operasi berjaya dikawal pada pukul 4.25 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram