[VIDEO] Penduduk Taiping panik bas usang dipandu warga emas musnah dijilat di tengah jalan


  • 112
  • Selasa, 13 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan kebakaran bas di Jalan Stesen Keretapi, Taiping, Perak pada awal pagi Selasa.

PENGGUNA jalan raya berdepan detik cemas apabila sebuah bas lama terbakar di laluan belakang Hospital Taiping, Taiping, Perak pada awal pagi Selasa.

Kejadian itu dirakam oleh orang awam, sebelum ia tular di media sosial.

Difahamkan kebakaran itu membabitkan bas milik syarikat Red Omnibus Sdn Bhd, iaitu syarikat yang sudah lama beroperasi dan menawarkan perkhidmatan bas untuk penduduk sekitar.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.

Menurut salah seorang pengguna yang difahamkan berada di lokasi kejadian, Nazamiza memberitahu, insiden berkenaan tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun bas itu sebenarnya sudah uzur dan sepatutnya diganti baharu.

"Bas Taiping lama terbakar pagi ini, semua selamat, bas hangus. Bas dah lama, tua, harus diganti baharu.

"Alhamdulillah pemandu dan penumpang selamat," katanya di Facebook pada Selasa.

Berdasarkan rakaman yang dikongsi, dia turut merakam keadaan seorang lelaki tua dipercayai pemandu bas kelihatan sedang duduk di perhentian bas di tepi jalan.

Keadaan lelaki warga emas dipercayai pemandu bas yang sempat dirakam orang awam. — Facebook/Nazamiza

Kebakaran itu juga telah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang luar biasa di laluan tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, bas persiaran yang membawa seorang penumpang dan pemandu terbakar sebanyak 80 peratus di Jalan Stesen Keretapi, Taiping.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan BBP Taiping. — Facebook/Bomba Taiping

Bagaimanapun menurutnya, kebakaran itu dilaporkan tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada mangsa berkenaan.

"Kami menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.28 pagi tadi.

"Anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke loksi dan mendapati sebuah bas persiaran musnah terbakar.

"Anggota bomba melakukan pemadaman dengan menggunakan dua aliran hose reel, dua pancutan air tangki jentera sehingga padam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Mustafa Kamal Ismail berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.58 pagi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram