Isteri Tun Daim didakwa kerana gagal isytihar aset


Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

ISTERI bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta, Disember 2023.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 36 (2) Akta SPRM selepas gagal mematuhi syarat notis untuk mengisytiharkan hartanya.

Bagi kesalahan yang dilakukan, Na'imah berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.

BACA LAGI: Lebih mewah berbanding orang terkaya di Malaysia? Ini 3 perkara mengenai Tun Daim yang patut tahu

2489043

Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin disiasat SPRM atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. — The Star

Untuk rekod, pegawai SPRM pada 10 Januari lalu memanggil Na'imah dan dua anak lelaki pasangan itu untuk merekodkan keterangan mereka dan Menara Ilham kepunyaan keluarga terbabit turut dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan.

Namun, Na'imah mendakwa ia merupakan kes aniaya dan terdapat pihak yang sengaja ingin menjatuhkan suaminya.

BACA LAGI: Saya kumpul kekayaan melalui perniagaan sah sebelum terlibat politik — Tun Daim

Menurut laporan SPRM, siasatan yang dijalankan terhadap Daim adalah berdasarkan undang-undang dan maklumat sedia ada daripada Kertas Pandora.

SPRM turut menjelaskan bahawa notis telah dihantar kepadanya pada 7 Jun 2023 di bawah Seksyen 36 (1) (a) Akta SPRM 2009.

Berikutan rampasan Menara Ilham, Daim mengecam siasatan ke atasnya dan keluarganya, dengan mendakwa bahawa ia adalah perbuatan 'ahli sihir' politik. — The Star/NURBAITI HAMDAN dan JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram