'Harapan tinggal harapan', pembeli Residensi Hektar Gombak kecewa projek terbengkalai lebih 4 tahun


  • Tular
  • Sabtu, 20 Jan 2024

Projek perumahan Residensi Hektar Gombak, Kuala Lumpur dikatakan terbengkalai sejak empat tahun lalu.

HARAPAN untuk menduduki Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak, Kuala Lumpur semakin musnah selepas projek perumahan itu dikatakan terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Perkara itu dikongsikan seorang pembeli wanita, Wan Nor Nadia yang menyatakan kekecewaannya berhubung hal tersebut di laman Facebook pada Jumaat.

Jelasnya, dia mengganggap perkara itu sebagai satu bentuk ujian yang perlu diharungi sebelum memiliki harta rumah.

Bayaran pinjaman yang sudah mula dibayar sejak December 2022 mencetuskan lagi kemarahannya apabila status pemilikan kediaman tersebut masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

"Yang lalu je tahu apa yang saya rasa, setiap kali ditanya status rumah automatik akan mengalir air mata.

"Gambar seolah-olah nampak seperti hampir siap tetapi sebenarnya terbengkalai hampir setahun lebih, salah satu ujian ALLAH nak uji dalam bentuk harta.

"Hakikatnya dengan kos sara hidup tinggi dan anak-anak yang semakin membesar, saya perlu kuat untuk keluarga, yang lain ujian biarlah disimpan rapi dan terus hadapi dengan kuat," katanya.

BACA LAGI: Derita pembeli rumah teres di Jalan Kebun, bayar RM1,800 sebulan sejak 2020 tapi masih tak siap-siap

photo_2024-01-20_15-25-35

Projek perumahan Residensi Hektar Gombak masih belum diduduki pembeli sejak mula dibina pada empat tahun lalu. — Facebook

BACA LAGI: Tanggung beban akibat terbengkalai 15 tahun, pemilik nekad sambut Aidilfitri di 'rumah puaka'

Dalam pada itu, laman Facebook Residensi Hektar Gombak turut membalas hantaran tersebut dan berterima kasih atas luahan tersebut yang disifatkan mampu membuka mata pihak berkenaan untuk segera menyelesaikan projek perumahan terbabit.

"Terima kasih kepada Puan Wan Nor Nadia kerana telah menularkan tentang projek Rumah Residensi Hektar.

"Kita memang perlu manusia yang berpengaruh untuk menularkan kesakitan dan ujian yang menimpa pembeli Residensi Hektar Gombak.

"Ayuh pembeli, teruskan berdoa dan usaha untuk rumah kita ini, walaupun ada yang sudah fasa yang sangat sakit, harap yang berkenaan ambil peduli," ujarnya.

Untuk rekod, projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dengan Nilai Pembangunan Kasar RM700 juta. Setiap unit berharga RM266,000 dengan keluasan 800 kaki persegi dan RM299,900 dengan keluasan 850 kaki persegi.

Projek tersebut mempunyai lima blok dan dibina atas Tanah Rizab Melayu seluas 7.85 Hektar dan kesemua 2,400 unit dilaporkan sudah terjual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram