Saya kumpul kekayaan melalui perniagaan sah sebelum terlibat politik — Tun Daim


  • Primer
  • Sabtu, 13 Jan 2024

SPRM dilaporkan sedang menyiasat bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. — The Star

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, beliau telah mengumpul kekayaan melalui aktiviti perniagaan yang sah sebelum menyertai politik.

Jelasnya, beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya dan berjaya dengan penglibatan dalam perniagaan telah dijadikan bahan buku serta artikel sebelum dilantik sebagai menteri.

"Saya sentiasa memiliki aset dan hartanah di luar negara sejak 1970-an," katanya dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan beliau dan ahli keluarganya untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar siasatan terhadap mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BACA LAGI: Tun Daim, keluarga cabar SPRM di mahkamah

Daim, 85, berkata, latar belakangnya dalam perniagaan sentiasa berada dalam domain awam dan beliau akan memperoleh lebih banyak kekayaan sekiranya tidak menyertai politik.

"Jika saya kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan aset ini secara aktif, nilai pegangan saham cair saya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini.

"Itu kos peribadi saya hari ini dalam keputusan saya untuk menyertai kerajaan.

"Seperti yang ditunjukkan oleh angka di atas, keputusan saya untuk menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri dan keluarga saya," tambahnya.

Pada Rabu, Daim dan keluarganya memfailkan permohonan untuk membawa SPRM ke mahkamah. Dalam permohonan itu, Daim dan isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 66, menamakan SPRM dan pendakwa raya masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

BACA LAGI: Siasatan SPRM: Isteri dakwa Tun Daim dianiaya kerana kaya-raya

Selain Daim dan Na'imah, turut disenaraikan sebagai pemohon ialah empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd, yang memiliki bangunan terbabit.

Daim dan keluarganya menggesa pengisytiharan mahkamah bahawa tindakan SPRM adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Menurut notis permohonan, mereka memohon pengisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat Daim dan keluarganya yang akan membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa sebarang pertuduhan dikenakan terhadap beliau dan keluarganya, pertuduhan tersebut akan bercanggah dengan perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak menerima perbicaraan yang adil.

Perkara itu ditetapkan untuk pendengaran melalui dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 16 Januari nanti. — The Star / NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram