Lebih mewah berbanding orang terkaya di Malaysia? Ini 3 perkara mengenai Tun Daim yang patut tahu


  • Massa
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Daim kembali menjadi perhatian selepas beliau disiasat SPRM susulan maklumat diperolehi daripada Kerta Pandora mengenai kekayaan dikaitkan dengan dirinya dan keluarganya.

SEJAK akhir Disember lalu, Tun Daim Zainuddin kini kembali menjadi tumpuan utama berita politik tanah air.

Ia selepas beliau yang juga bekas Menteri Kewangan kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan maklumat diperolehi daripada Kerta Pandora mengenai kekayaan dikaitkan dengan dirinya dan keluarganya.

Untuk rekod, Daim yang dikenali sebagai tokoh agak rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut pernah menjadi perhatian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ini kerana pada waktu tersebut, beliau dilantik menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang mengumpulkan individu berpengaruh di dalam negara terdiri daripada pelbagai bidang termasuk sektor korporat.

Di sebalik statusnya yang dikenali sebagai individu berpengaruh di dalam negara, namun sosok berusia 85 tahun ini boleh dikatakan agak misteri termasuk dalam kalangan mereka yang masih muda.

Berikut Majoriti senaraikan tiga perkara yang perlu diketahui mengenai beliau:

1. Kerjaya awal sebelum memasuki politik

Daim yang merupakan anak kelahiran Derga, Alor Setar, Kedah memulakan kerjayanya sebagai pengamal undang selepas menamatkan pengajian di Lincoln’s Inn London pada 1957.

Bermula pada 1960, beliau menjalankan praktis perundangan bersama beberapa firma guaman antaranya termasuk dengan Wan Mustaffa & Co. di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam tempoh beberapa tahun seterusnya, Daim turut berkhidmat dalam perkhidmatan awam selaku Majistret di Johor Baharu, Johor; Hakim Mahkamah Sesyen Muar dan Timbalan Pendakwaraya di Ipoh, Perak antara 1962 hingga 1964.

Bagaimanapun, pada 1965, beliau kembali melakukan praktis undang-undang persendirian sebelum menubuhkan firma guaman sendiri yang dikenali sebagai Daim & Gamany.

Daim kemudiannya mula menceburi bidang perniagaan di Selangor dan Melaka melalui syarikat pengeluaran garam dan pembuatan makanan yang dikenali sebagai Sedap Food serta pembungkusan makanan (Daibochi).

Bagaimanapun, rancangan perniagaan pertamanya yang dimulakan pada 1969 gagal apabila kedua-dua syarikat tersebut tidak membuahkan hasil yang positif.

Disebabkan itu, beliau kemudiannya mula memasuki bidang pembangunan hartanah melalui beberapa projek utama seperti Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur pada 1971.

BACA LAGI: [VIDEO] SPRM tampil jawab dakwaan Daim, maklum sudah beri 5 kali lanjutan isytihar harta

DaimZainuddin_2 (1)

Sebelum menceburi politik, Daim terlebih dahulu melibatkan dirinya dalam bidang perundangan dan perniagaan.Agensi

2. Dilantik Menteri Kewangan sebanyak dua kali

Karier Daim di bidang politik negara bermula secara serius pada 1980 apabila beliau dilantik sebagai Senator.

Bagaimanapun, jaringan perhubungannya bersama beberapa tokoh politik utama negara bermula lebih awal sewaktu tahun pengajiannya di London.

Antara nama-nama besar yang sudah dikenalinya adalah Tengku Razaleigh yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan, Syed Jaafar Albar (pernah memegang jawantan Setiausaha Agung Umno) dan Tun Hussein Onn (Perdana Menteri).

Kemuncaknya penglibatannya dalam politik bermula pada 1984 apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memegang jawatan Menteri Kewangan.

Daim bagaimanapun mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada 1991 dengan posisisnya digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara pencapaiannya ketika penggal pertama selaku Menteri Kewangan antaranya adalah memandu ekonomi negara mengharungi krisis Kemelesetan Ekonomi yang berlaku pada 1985.

Beliau kemudiannya dilantik sekali lagi oleh Mahathir ke jawatan tersebut pada 1999 susulan pemecatan Anwar sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu.

Tempoh keduanya menggalas tanggungjawab tersebut turut berlaku ketika tempoh sukar apabila negara pada ketika itu sedang cuba untuk bangkit daripada Krisis Ekonomi 1997.

Waktu perkhidmatannya pada kali ini bagaimanapun lebih pendek apabila beliau meletakkan jawatan pada 2001.

Keterlibatan politiknya juga menyaksikan Daim menjadi wakil rakyat sebanyak dua kali masing-masing sebagai Ahli Parlimen Kuala Muda pada 1982 hingga 1986 dan Ahli Parlimen Merbok (1986-2004).

Bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), beliau turut memegang jawatan penting iaitu sebagai Bendahari Agung dari 1984 hingga 2001.

3. Tanda tanya kekayaan Daim

Melalui penglibatannya sebagai ahli perniagaan dalam bidang hartanah, Daim sememangnya dikenali sebagai individu yang sudah berstatus jutawan sebelum menyertai politik.

Pada masa sama, selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 1991, beliau turut menubuhkan sebuah bank pelaburan, International Commercial Bank (ICB) di Switzerland pada 1994.

Bank terbabit turut memiliki operasi yang meluas di Eropah, Asia dan Afrika.

BACA LAGI: Didakwa bolot kekayaan luar biasa sampai kena siasat SPRM, Tun Daim akhirnya buka mulut

The Secretariat of the Council of Eminent Persons (Council). RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Daim (duduk, tengah) ketika menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan selepas PRU14.

Untuk rekod, pembabitan Daim dalam bidang kewangan sudah bermula lebih awal daripada itu melalui penguasaan sahamnya di United Malayan Banking Corporation (UMBC) yang kini dikenali sebagai RHB Bank.

Ketika itu, institusi tersebut merupakan bank ketiga terbesar di dalam negara.

Di sebalik statusnya sebagai seorang tokoh korporat yang dikenali, jumlah sebenar kekayaannya masih menjadi sesuatu yang misteri.

Malah, beliau juga setakat ini masih belum masuk ke dalam senarai 50 orang paling kaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Forbes.

Bagaimanapun, melalui afidavit sokongan terbaharu yang dikemukakannya bagi permohonan semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM pada minggu ini, Daim seakan-akan memberi sedikit gambaran mengenai nilai kekayaan yang mampu dimilikinya.

Di dalam permohonan tersebut, beliau berkata, keputusannya untuk menyertai kerajaan dari 1984 hingga 2001 memberikan kerugian kewangan yang besar terhadap dirinya yang ketika itu sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Menurutnya, ini kerana selepas kira-kira setahun menyertai Kabinet pada 1984, beliau diarahkan untuk mencairkan aset pelaburannya dalam syarikat tersenarai awam UMBC.

"Pada ketika itu, aset cair saya berjumlah lebih RM750 juta. Jika saya telah memasukkan jumlah itu ke dalam dana indeks S&P 500 pada tahun 1984, nilai hari ini akan melebihi RM42 bilion,” katanya.

Daim menjelaskan, dengan jumlah aset pegangan yang dimilikinya ketika itu, nilai pegangan sahamnya pada hari ini akan bernilai lebih RM50 bilion tanpa beliau perlu mengembangkannya secara aktif.

“Seperti yang ditunjukkan oleh angka di atas, keputusan saya untuk menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara saya mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri saya dan keluarga saya,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nilai bersih semasa kekayaan yang dimilikinya ketika ini.

Menurut laporan The Edge, nilai bersih RM50 bilion yang bersamaan dengan AS$10.7 bilion akan menjadikan Daim menduduki tempat teratas dalam kalangan orang terkaya negara, berdasarkan pengiraan Forbes.

Ini kerana nilai bersih kekayaan orang terkaya Malaysia yang ketika ini dipegang oleh Tan Sri Robert Kuok ialah sebanyak AS$10.4 bilion, manakala hartawan perbankan, Tan Sri Quek Leng Chan pula bernilai AS$10 bilion. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram