SKUAD Harimau Malaya berpeluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga lagi khidmat pemain warisan yang kini berkelana di liga luar negara.
Ia susulan peningkatan prestasi dipamerkan pasukan kebangsaan sejak kemasukan beberapa individu berdarah kacukan yang semakin mendapat tempat di hati jurulatih Kim Pan-gon.
Buktinya, pasukan negara yang kini sedang berjuang di Piala Asia, Qatar juga turut dibarisi beberapa tonggak berdarah campuran Malaysia yang dilihat mudah menyesuaikan diri dengan corak permainan tempatan.
Justeru, tidak salah sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mula 'merisik' beberapa lagi calon pemain yang sesuai dibawa ke Malaysia pada masa akan datang.
Berikut Majoriti senaraikan tiga individu yang sesuai dipanggil mewakili skuad kebangsaan kelak.
1. Joshua Rawlins
Pemain muda berusia 19 tahun ini merupakan antara calon paling sesuai dipanggil untuk menyertai skuad negara.
Beraksi di FC Utretcht dalam saingan Liga Dua Belanda, Joshua kini sudah pun mengukuhkan tempatnya dalam skuad bawah 23 tahun Australia apabila beraksi bersama Piala Asia 2023 bawah 20 tahun.
Mempamerkan aksi cemerlang ketika bersama skuad muda Perth Glory di Australia, anak muda berdarah campuran Australia, Malaysia dan juga Belanda itu berjaya memperagakan aksi konsisten di Belanda apabila beraksi dalam 24 perlawanan pada 2022.
Bermain di posisi pertahanan kanan, kelajuan serta ketinggian 1.81 meter merupakan antara kekuatan serta kelebihan dimiliki pemain ini.
2. Sem Scheperman
Pemain kelab Heracles Almelo FC, Sem Scheperman berpotensi untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya selaku arkitek tengah berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Pemain berusia 21 tahun itu merupakan pemain utama kelab Heracles yang kini menghuni tangga ke-15 liga utama Belanda iaitu Liga Eredivisie.
Dilahirkan di Belanda, Sem Scheperman mempunyai keturunan Malaysia melalui neneknya manakala ibu bapanya pula berasal dari Belanda.
Mampu bermain di posisi tengah dan pertahanan merupakan antara nilai tambah yang mungkin perlu diperhalusi FAM berhubung kemasukannya ke dalam skuad negara.
3. Nishan Vellupilay
Nishan Vellupilay dilaporkan memiliki darah campuran Australia-Malaysia dan beraksi sebagai penyerang bersama kelab Melbourne Victory di liga utama Australia.
Memiliki ketinggian 1.81 meter, Velupillay merupakan antara tonggak yang dipanggil memperkuatkan pasukan B-23 Australia namun masih berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya dengan syarat tiada 'cap' antarabangsa dengan skuad senior negara terbabit.
Boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri, pemain berusia 22 tahun itu telah meledak enam gol serta tiga bantuan jaringan bersama Melbourne Victory FC sejak dinaikkan pangkat pada 2021.
Dalam pada itu, peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan seseorang pemain itu perlu mempunyai pertalian darah dengan negara yang mahu diwakilinya, sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara itu.
Begitupun, peraturan pemain warisan itu berbeza dengan pemain naturalisasi yang harus bermain dan menetap selama lima tahun di negara yang ingin diwakilinya seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.
Untuk rekod, Brendan adalah pemain warisan pertama dipanggil mewakili Malaysia ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan sebelum diikuti beberapa pemain lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram