[VIDEO] Penagih dadah disyaki sakit mental tikam diri sendiri guna parang


  • Tular
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan aksi beberapa anggota polis ketika menangkap seorang penagih dadah bersenjatakan parang di Jalan Mahsuri pada Ahad.

SEORANG penagih dadah berjaya ditahan polis ketika didapati merayau-rayau bersama senjata berbahaya di Jalan Mahsuri, Sibu, Sarawak pada Ahad.

Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun dari jalan Foochow itu disyaki mengalami gangguan mental sebelum ditahan pada pukul 12 tengah hari selepas aduan dilakukan oleh orang awam yang bimbang akan keselamatan diri individu berkenaan.

Pada masa sama, salah seorang saksi turut berjaya merakam kejadian yang berlaku itu, lapor Borneo Network.

Polis menemui sebilah parang, pisau dan beg dan hasil siasatan mendapati suspek merupakan penagih dadah sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Menerusi video yang tular sejak Ahad, individu terbabit dilaporkan cedera kerana telah menikam dirinya sendiri ketika tangkapan dilakukan oleh pihak polis ketika kejadian.

Melalui video sama, beberapa anggota polis juga dilihat mengekori dan mengawasi individu berkenaan sebelum berjaya menangkapnya.

Dalam pada itu, aksi anggota polis yang menahan lelaki tersebut menarik perhatian dengan rakaman tular yang dikongsikan memperdengarkan seorang kanak-kanak berbincang sesuatu dengan penjaganya ketika mereka yang berada di dalam kereta melalui kawasan berkenaan.

Melalui perbualan yang dirakam pada waktu itu, kanak-kanak itu dikatakan sedang ‘berbincang’ tentang cara untuk menangkap lelaki tersebut dalam bahasa Cina.

Kanak-kanak tersebut juga difahamkan mencadangkan agar polis menangkap dan merampas parang dengan cara bergelut sebelum dijelaskan oleh ibunya tentang kesukaran untuk melakukan perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram