PARTI Warisan (Warisan) pada Rabu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihak tertentu, yang mendakwa kononnya parti itu mendapat dana atau mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, parti itu menganggap tuduhan yang dilemparkan sebagai fitnah politik melampau bagi menjatuhkan reputasi parti terbabit serta pemimpin-pemimpinnya.
Beliau berkata, sekiranya tuduhan itu terus berulang, parti tersebut tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan Warisan dengan apa-apa aktiviti atau sindiket haram yang melanggar undang-undang.
"Warisan kesal masih ada segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaitkan kes itu dengan Warisan seperti yang telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, polis mendedahkan ketua sindiket dadah bergelar ‘Datuk’ adalah antara 10 lelaki ditahan Isnin lepas di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan susulan pengumuman itu, tular satu mesej di aplikasi Whatsapp yang mengaitkannya dengan parti Warisan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram