Tanggung beban akibat terbengkalai 15 tahun, pemilik nekad sambut Aidilfitri di 'rumah puaka'


  • Massa
  • Sabtu, 02 Apr 2022

KEADAAN semak-samun di sekeliling kawasan rumah di Taman Jaza Seri Pasu yang terbengkalai sejak tahun 2007.

MEMILIKI kediaman sendiri sememangnya menjadi impian hampir semua orang memandangkan rumah adalah aset tetap yang mendatangkan faedah di kemudian hari.

Bagaimanapun masalah kontraktor 'lari' dan rumah terbengkalai menjadi mimpi ngeri kepada pemilik rumah di negara ini.

Begitulah nasib yang dialami salah seorang pembeli rumah setingkat di Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan setelah projek itu terbengkalai sejak 15 tahun lalu.

Mangsa, Roziawati Rokman ketika dihubungi Majoriti berkata, rumah kos sederhana rendah di Taman Perumahan Jaza Seri Pasu itu dibeli oleh suaminya dengan harga kira-kira RM70,000 pada 2007.

WhatsApp Image 2022-04-02 at 3.51.55 PM (2)

KEADAAN rumah terbengkalai yang menunjukkan tingkap di bahagian ruang tamu dicuri.

Bagaimanapun, pemaju rumah terbabit, Nusajaza Development Sdn Bhd (Nusajaza) dikatakan berdepan masalah kewangan hingga syarikat terbabit diisytihar muflis.

"Memang sangat terkilan dengan nasib yang menimpa kami. Rumah dah naik semak-samun, jalan masuk ke sini tiada malah lebih menyedihkan, bingkai dan tingkap turut dicuri.

"Memandangkan sudah terlalu lama terbengkalai, kami sekeluarga tetap mengambil keputusan untuk berpindah ke sini bagi menduduki rumah ini meskipun serba kekurangan," cerita ibu kepada seorang anak itu yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

WhatsApp Image 2022-04-02 at 3.51.38 PM

KEADAAN rumah yang terbengkalai sejak tahun 2007.

Roziawati yang mesra disapa sebagai Ziezya berkata, pada awal tahun 2021, sebahagian pemilik rumah Taman Jaza Seri Pasu yang dikenali sebagai Taman Damai itu mengumpul duit sendiri untuk membuat jalan masuk ke kawasan perumahan itu.

"Kerja-kerja pembaikan kerosakan rumah tiga bilik dengan dua bilik air ini juga kami pakai duit sendiri dengan menelan belanja hampir RM20,000. Awal-awal masuk, memang rasa macam 'rumah puaka', tetapi kami nekad ubah jadi rumah idaman.

"Lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, kami berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk datang baiki rumah dan buat sedikit demi sedikit dari kerja pemasangan meter, gril dan sebagainya.

"Bekalan elektrik ada, sebab ada kawan suami dah buat dan duduk rumah dia di sini manakala air guna telaga boring atau telaga tiub daripada sumber air bawah tanah," katanya yang hidup berjiran dengan dua lagi penghuni daripada keseluruhan hampir 200 unit rumah di taman berkenaan.

bekalan air

BEKALAN air diperoleh daripada sumber air telaga boring yang diusahakan sendiri oleh pemilik rumah.

Tambah suri rumah itu, kebanyakan pembeli adalah pesara tentera dan penjawat awam yang membuat pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Memang suami terpaksa bayar pinjaman setiap bulan walaupun rumah itu tak dapat disiapkan oleh pemaju.

"Gaji dipotong kira-kira RM600 sebulan sejak tahun 2007 lagi sehingga sekarang pun masih bayar pinjaman itu.

"Kami pernah buat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), siap masuk berita sebelum ini tapi tiada apa-apa tindakan. Akhirnya kena keluarkan duit sendiri kalau nak duduk," ceritanya lagi.

terbengkalai3

BEKALAN elektrik juga diusahakan sendiri oleh pemilik rumah.

Menjelang Ramadan dan Syawal yang akan tiba ini, Ziezya berharap, nasib pemilik rumah di taman perumahan itu dapat pembelaan sewajarnya.

"Kami minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, pemaju dan pihak berkaitan bantu.

"Tak minta banyak pun, cukuplah ada jalan tar dan lampu jalan sebab malam memang gelap, jadi risau keselamatan.

"Tahun ini akan menyaksikan kami sekeluarga berpeluang menyambut Ramadan dan Syawal di kediaman milik sendiri. Bayangkan selama 14 tahun kami berpuasa di kuarters tentera di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.

"Memang sangat bermakna kepada kami sekeluarga andai kata pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki kawasan ini dengan infrastruktur seperti jalan dalam tempoh terdekat," katanya yang berpindah masuk ke rumah itu pada 10 Februari lalu.

Semakan Majoriti mendapati, pemaju penyelamat yang diarahkan mahkamah untuk menyiapkan rumah di Taman Jaza Seri Pasu itu juga dikatakan lepas tangan.

Majoriti masih berusaha mendapatkan Jabatan Perumahan Negara berhubung isu rumah terbengkalai itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram