Derita pembeli rumah teres di Jalan Kebun, bayar RM1,800 sebulan sejak 2020 tapi masih tak siap-siap


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Projek perumahan tersebut sepatutnya siap dibina pada 2020, namun tergendala akibat pandemik Covid-19 dan tidak diteruskan hingga kini.

BEBERAPA pembeli unit rumah teres di Jalan Universiti, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor berasa tertipu dengan pihak pemaju perumahan yang menjanjikan kediaman mereka sedia diduduki pada 2020, namun sehingga kini ia masih belum disiapkan.

Difahamkan sebanyak 48 unit rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan mula dibina antara tahun 2017 dan 2018.

Bagaimanapun, tinjauan Majoriti pada Jumaat mendapati rumah-rumah berkenaan masih belum disiapkan, malah terdapat beberapa kediaman yang mulai mendap dan rosak.

Salah seorang pembelinya, Muhammad Azri Mad Shaffiee, 33, berkata, pihaknya telah menandatangani dokumen Perjanjian Jual Beli Rumah (S&P) dengan pemaju pada 2017.

Namun dia yang juga seorang penjawat awam itu berkata, pihak pemaju memaklumkan proses pembinaan rumah teres tersebut ditangguhkan pada 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan akan disambung selepas ia reda.

IMG_20230707_095619_483

Hasil tinjauan turut mendapati hanya tapak rumah yang dibina di tempat projek perumahan tersebut.

Bagaimanapun katanya, dia yang turun sendiri ke tapak pembinaan perumahan tersebut mendapati rumah tersebut masih belum siap dibina walaupun pihak pemaju memaklumkan kepadanya bahawa kediaman tersebut telah siap sebanyak 40 peratus.

"Setiap bulan sebanyak kira-kira RM1,800 dipotong daripada gaji bulanan sejak 2020 dan ia memberi kesan kepada komitmen keluarga sehingga saya terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung kos tersebut.

"Saya dah buat banyak aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebanyak dua kali setahun sejak 2020, tapi tiada respons yang diterima," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.

Pembeli lain, Mohd Hafeez Yaakub, 42, pula mendakwa pihak pemaju masih menjual unit rumah kepada pembeli lain walaupun rumah tersebut tidak siap dibina.

Dia yang bekerja sebagai seorang guru di Shah Alam berkata, pembeli terbabit pernah menghubunginya tentang rumah tersebut, namun sudah terlambat tidak dapat menahan mereka daripada menandatangani dokumen S&P untuk membeli rumah berkenaan.

IMG_20230707_100330_544

Muhammad Azri (kiri) dan Mohd Hafeez ketika ditemui di tapak pembinaan rumah teres di Jalan Universiti, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.

"Kebanyakan pembeli rumah (di sini) adalah penjawat awam yang memohon daripada LPPSA. tapi mereka (LPPSA) pun tidak pantau projek ini, main lepas sahaja.

"Bila kita buat aduan (kepada pihak berkuasa), mereka minta pelbagai dokumen dan bukti untuk mengesahkan tentang situasi projek yang boleh dikatakan sakit ini. Padahal kita di pihak yang teraniaya," katanya yang mempunyai enam orang anak.

Sementara itu, Majoriti sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan berkenaan perkara tersebut. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram