KEGIATAN samun dilakukan pasangan dipercayai suami isteri di sebuah hotel dekat Gombak, Selangor hangat diperkatakan di laman media pada Khamis.
Kejadian itu tercetus apabila pelaku yang memakai topi keledar, terlebih dahulu dilihat seakan-akan cuba bertanya tentang kadar bayaran menginap di hotel berkenaan sebelum bertindak mengasari pekerja wanita terbabit.
Bersenjatakan parang, salah seorang daripadanya turut melakukan kekasaran apabila menolak dan mengugut mangsa untuk menyerahkan barangan berharga kepadanya.
Telefon pintar dan beg tangan dipercayai antara yang dirampas pelaku ketika kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah rakam jenayah aksi sendiri samun warga asing di Cheras, polis tahan 3 pelajar
Mangsa difahamkan hanya mengalami cedera ringan di kepala akibat diketuk dengan parang tersebut dan kedua-dua individu terbabit berjaya melarikan diri dari lokasi berkenaan.
Menurut laporan media, mangsa yang kesakitan di kepala kemudian membuat laporan di Balai Polis Gombak, Selangor untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram