Dakwa ada ketumbuhan dalam telinga, peguam rayu jaminan warga emas rempuh 3 motosikal di Pulau Pinang dikurangkan


Leuk Ley (tengah) diiringi masuk ke Mahkamah Majistret di George Town, Pulau Pinang pada Khamis. — The Star

SEORANG warga emas wanita berusia 76 tahun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pada Khamis.

Tertuduh, Tan Leuk Ley mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Pertuduhan itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.

BACA LAGI: Tun Daim, keluarga cabar SPRM di mahkamah

Untuk rekod, Leuk Ley didakwa memandu pada kelajuan berbahaya dan merempuh penunggang motosikal Mohammad Afiq Roszani, 23, di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang kira-kira pukul 2.15 petang pada 27 November tahun lalu.

Dalam pada itu, warga emas terbabit juga didakwa merempuh seorang penunggang motosikal berusia 40 tahun dan pemboncengnya, Nur Irfan Hakim Mohd Nor Ezrie, 15, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Leuk Ley didakwa memandu secara melulu dan melanggar dua penunggang motosikal masing-masing berusia 22 tahun iaitu Muhammad Syamil Zulkarnian dan Kristina Abdullah di lokasi sama.

Dalam hujahan untuk diikat jamin, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali menggesa mahkamah menetapkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

BACA LAGI: Jenayah goda isteri orang dimansuhkan kerana tidak berperlembagaan

Menjawab dalam mitigasi, peguam Tan Dev Kumaraendran berkata, Leuk Ley merupakan seorang pesara kerani polis yang pernah bekerja selama 30 tahun sebelum berhenti kerana mengalami ketumbuhan kolesteatoma dan memerlukan tiga proses pembedahan.

"Leuk Ley masih diberikan rawatan dan pendengarannya agak terbatas ketika ini. Saya menggesa mahkamah mengurangkan jaminan untuk memastikan dia datang ke mahkamah," katanya.

Siti Nurul Suhaila menetapkan ikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

"Saya menambah dengan syarat tertuduh dan keluarganya tidak boleh mengganggu mangsa," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 8 Mac depan untuk penyerahan dokumen dan laporan perubatan. — The Star / N. TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram