[VIDEO] Suspek tua samun remaja dalam lif di JB ada rekod jenayah, polis rampas 3 barang termasuk seluar jean


  • 112
  • Rabu, 18 Okt 2023

Kejadian samun melibatkan seorang individu bertopi keledar dan remaja lelaki dalam sebuah lif pangsapuri di Johor Bahru.

POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat melakukan samun ke atas seorang remaja lelaki dalam sebuah lif di Johor Bahru, Johor pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan hasil serbuan di sebuah pangsapuri Johor Bahru pada Selasa.

“Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian samun daripada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun berhubung kejadian samun dalam lif sebuah pangsapuri, pada Ahad.

“Polis kemudiannya terkesan satu video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di laman X yang memaparkan kejadian seorang lelaki melakukan samun ke atas seorang remaja lelaki dalam lif.

“Bertindak atas maklumat, ketua polis balai bersama anggota unit ronda sektor (URS), Balai Polis Majidee telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri dan berjaya menahan seorang lelaki selain merampas satu telefon bimbit, sehelai seluar jean dan sepasang kasut,” katanya.

Hasil semakan rekod lampau, suspek didapati mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morphine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun atau denda atau sebat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram